6. TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan.
7. Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya.
8. TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka.
9. Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.”
10. Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.”
11. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN.
12. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.”
13. Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.”
14. Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau.
15. Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan.
16. Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya.
17. Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”
18. Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, “Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa.