Keluaran 4:20-31 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya.

21. TUHAN berfirman kepada Musa lagi, “Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi.

22. Lalu katakanlah kepada raja itu bahawa Aku, TUHAN, berfirman begini, ‘Israel ialah anak sulung-Ku.

23. Aku telah memerintahkan engkau untuk membenarkan anak-Ku itu pergi supaya dia dapat menyembah Aku, tetapi engkau menolak. Sekarang Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’ ”

24. Di suatu tempat perkhemahan di tengah perjalanan ke Mesir, TUHAN datang kepada Musa dan cuba membunuhnya.

25. Kemudian Zipora, isteri Musa, mengambil batu tajam dan memotong kulup anaknya, lalu menyentuh kaki Musa dengan potongan itu. Zipora berkata, “Engkau suami darah bagiku.”

26. Zipora berkata demikian kerana upacara sunat itu. Oleh itu TUHAN tidak membunuh Musa.

27. Sementara itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah ke padang gurun untuk menemui Musa.” Harun pergi lalu bertemu dengan Musa di gunung suci, dan Harun mencium dia.

28. Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan TUHAN ketika dia disuruh balik ke Mesir. Musa juga memberitahu segala mukjizat yang harus dilakukannya.

29. Kemudian Musa dan Harun pergi ke Mesir, lalu menghimpunkan semua pemimpin umat Israel.

30. Harun memberitahu mereka segala yang difirmankan TUHAN kepada Musa, dan Musa melakukan segala mukjizat di hadapan semua orang itu.

31. Mereka percaya, lalu sujud menyembah apabila mendengar bahawa TUHAN sudah memperhatikan mereka dan melihat segala penderitaan mereka.

Keluaran 4