19. Mereka membuat dua gelang emas dan memasangkannya pada penutup dada, di sudut bawah, di bahagian dalamnya yang kena efod.
20. Mereka membuat dua gelang emas lagi, dan memasangkannya ke bahagian bawah di depan dua tali bahu efod, dekat dengan kelim, dan di sebelah atas ikat pinggang yang ditenun halus.
21. Sesuai dengan perintah TUHAN kepada Musa, mereka mengikat gelang penutup dada itu pada gelang efod dengan tali biru, agar penutup dada itu terletak di atas ikat pinggang dan tidak terlepas.
22. Jubah yang dipakai di bawah efod, seluruhnya ditenun daripada kain bulu berwarna biru.
23. Lubang lehernya diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak.
24-26. Di sekeliling kelepet sebelah bawah jubah itu, mereka membuat hiasan berupa buah delima daripada kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, di selang-seli dengan loceng daripada emas tulen, menurut perintah TUHAN kepada Musa.
27. Mereka membuat baju labuh daripada kain linen halus untuk Harun dan anak-anaknya,
28. dan juga serban, ikat kepala, celana pendek daripada kain linen,
29. ikat pinggang daripada kain linen halus, dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dihias dengan sulaman, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
30. Mereka membuat suatu perhiasan daripada emas tulen, suatu tanda yang suci bahawa mereka sudah ditahbiskan. Pada perhiasan itu mereka mengukir perkataan ini: “Ditahbiskan untuk TUHAN.”
31. Mereka mengikatkan perhiasan itu pada serban dengan tali biru, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.