16. mazbah tempat membakar korban, dengan kekisi gangsa, kayu pengusung dan semua peralatannya; besen dan alasnya;
17. tirai bagi pagar, serta tiang pagar dan alas tiang; tirai untuk pintu pagar;
18. pasak dan tali bagi Khemah TUHAN dan pagarnya;
19. pakaian ibadat untuk imam-imam apabila mereka bertugas di Bilik Suci, dan pakaian khas untuk Imam Harun dan anak-anaknya.”
20. Kemudian semua orang Israel yang berkumpul itu bersurai,
21. dan setiap orang yang tergerak hatinya membawa persembahan kepada TUHAN untuk membuat Khemah TUHAN. Mereka membawa semua barang yang diperlukan untuk ibadat dan untuk membuat pakaian imam.
22. Setiap orang yang mahu memberikan persembahan, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa kerongsang, anting-anting, cincin, rantai leher, dan segala jenis barang kemas daripada emas, lalu mentahbiskan semuanya untuk TUHAN.
23. Setiap orang yang mempunyai kain linen halus; kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain yang dibuat daripada bulu kambing; kulit domba jantan yang dicelup merah; atau kulit halus, mempersembahkan barang itu.
24. Semua orang yang mampu mempersembahkan perak atau gangsa membawa persembahan mereka kepada TUHAN. Demikian juga yang dilakukan oleh semua orang yang mempunyai kayu akasia yang dapat digunakan bagi pekerjaan itu.
25. Semua perempuan yang mahir memintal, membawa benang linen serta benang bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang telah dipintal mereka.
26. Mereka juga memintal benang daripada bulu kambing.
27. Para pemimpin membawa batu sardis dan batu permata lain untuk ditatahkan pada efod dan penutup dada.
28. Mereka juga membawa rempah-ratus dan minyak untuk pelita, minyak upacara, dan kemenyan yang harum.
29. Semua orang Israel yang ingin dan rela memberikan sesuatu, membawa persembahan mereka itu kepada TUHAN, untuk pekerjaan yang telah diperintahkan-Nya kepada Musa.
30. Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda.
31. Allah telah mengurniai Bezaleel kuasa-Nya, dan memberi dia kemahiran, kebolehan, dan pengertian dalam segala jenis karya seni,
32. untuk merancang rekabentuk yang memerlukan kemahiran serta membuatnya dengan menggunakan emas, perak, dan gangsa;
33. untuk mencanai batu permata yang akan ditatah; untuk mengukir kayu, dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain.