6. Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar.
7. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.”
8. Dengan segera Musa bersujud menyembah.
9. Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”
10. TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu.