Keluaran 34:10-22 Alkitab Berita Baik (BM)

10. TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu.

11. Taatilah hukum yang Aku berikan kepadamu hari ini. Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi apabila kamu pergi ke sana.

12. Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri yang akan kamu duduki, kerana hal itu akan menjadi perangkap yang mengakibatkan kebinasaan kamu.

13. Robohkanlah mazbah-mazbah mereka; hancurkanlah tugu-tugu keramat mereka, dan tebanglah lambang-lambang Asyera, berhala mereka.

14. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana Aku, TUHAN, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.

15. Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri itu, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu. Maka kamu akan tergoda untuk makan makanan yang dipersembahkan mereka kepada tuhan-tuhan itu.

16. Anak-anak lelaki kamu mungkin akan berkahwin dengan anak-anak perempuan mereka, yang akan menyebabkan anak-anak lelaki kamu tidak lagi setia kepada-Ku, dan menyembah tuhan-tuhan lain.

17. Jangan buat tuhan-tuhan daripada logam, dan jangan sembah tuhan-tuhan itu.

18. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Sebagaimana telah Aku perintahkan, makanlah roti tidak beragi selama tujuh hari pada bulan Abib, kerana pada bulan itu kamu telah meninggalkan Mesir.

19. Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan adalah milik-Ku.

20. Tetapi kamu harus menebus setiap anak sulung keldai kamu dengan mempersembahkan seekor domba sebagai penggantinya. Jika kamu tidak menebus keldai itu, patahkanlah lehernya. Kamu harus menebus setiap anak lelaki sulung kamu.Tidak seorang pun boleh menghadap Aku tanpa membawa persembahan.

21. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi jangan bekerja pada hari ketujuh, walaupun pada masa membajak atau masa menuai.

22. Rayakanlah Perayaan Menuai apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu. Rayakanlah juga Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu memetik buah-buahan.

Keluaran 34