Keluaran 34:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

1. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Pada batu tulis itu, Aku akan menulis firman yang sama dengan firman yang ada pada batu tulis yang pertama, yang telah engkau pecahkan.

2. Bersiap-siaplah esok pagi, dan naiklah ke Gunung Sinai untuk menghadap Aku di puncak gunung itu.

3. Tiada sesiapa pun boleh naik bersama-samamu, atau kelihatan di bahagian mana pun gunung itu; domba ataupun lembu tidak boleh meragut di kaki gunung itu.”

4. Kemudian Musa memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan pada awal pagi esoknya dia membawa batu tulis itu, lalu naik ke Gunung Sinai, seperti yang diperintahkan TUHAN.

5. TUHAN turun dalam awan; Dia berdiri dengan Musa di tempat itu dan menyebut nama-Nya yang suci, iaitu TUHAN.

6. Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar.

7. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.”

8. Dengan segera Musa bersujud menyembah.

9. Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”

10. TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu.

11. Taatilah hukum yang Aku berikan kepadamu hari ini. Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi apabila kamu pergi ke sana.

12. Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri yang akan kamu duduki, kerana hal itu akan menjadi perangkap yang mengakibatkan kebinasaan kamu.

13. Robohkanlah mazbah-mazbah mereka; hancurkanlah tugu-tugu keramat mereka, dan tebanglah lambang-lambang Asyera, berhala mereka.

14. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana Aku, TUHAN, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.

15. Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri itu, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu. Maka kamu akan tergoda untuk makan makanan yang dipersembahkan mereka kepada tuhan-tuhan itu.

16. Anak-anak lelaki kamu mungkin akan berkahwin dengan anak-anak perempuan mereka, yang akan menyebabkan anak-anak lelaki kamu tidak lagi setia kepada-Ku, dan menyembah tuhan-tuhan lain.

17. Jangan buat tuhan-tuhan daripada logam, dan jangan sembah tuhan-tuhan itu.

18. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Sebagaimana telah Aku perintahkan, makanlah roti tidak beragi selama tujuh hari pada bulan Abib, kerana pada bulan itu kamu telah meninggalkan Mesir.

Keluaran 34