Keluaran 33:14-23 Alkitab Berita Baik (BM)

14. TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu.”

15. Musa menjawab, “Jika Engkau tidak ikut kami, jangan suruh kami meninggalkan tempat ini.

16. Bagaimanakah orang lain tahu bahawa Engkau berkenan kepada umat-Mu dan aku, jika Engkau tidak ikut kami? Hadirat-Mu di tengah-tengah kami akan membezakan kami daripada bangsa lain di bumi.”

17. TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan melakukan seperti yang engkau minta, kerana Aku mengenal engkau dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.”

18. Kemudian Musa memohon, “Benarkanlah aku melihat cahaya hadirat-Mu.”

19. TUHAN menjawab, “Aku akan lalu dengan segala keagungan-Ku di hadapanmu, sambil mengucapkan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan kepada orang yang Aku pilih.

20. Engkau tidak boleh melihat wajah-Ku, kerana tiada manusia yang tetap hidup setelah melihat wajah-Ku.

21. Berdirilah di atas bukit batu yang terletak di sebelah-Ku.

22. Apabila cahaya hadirat-Ku lalu, Aku akan memasukkan engkau ke dalam celah bukit batu dan menghalangi penglihatanmu dengan tangan-Ku sehingga Aku telah lalu.

23. Kemudian Aku akan mengangkat tangan-Ku dan engkau akan nampak belakang-Ku, tetapi tidak nampak wajah-Ku.”

Keluaran 33