Keluaran 32:10-22 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Sekarang, janganlah halang Aku. Aku murka terhadap mereka dan hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku akan menjadikan engkau dan keturunanmu satu bangsa yang besar.”

11. Tetapi Musa merayu kepada TUHAN, Allahnya dan berkata, “Ya TUHAN, mengapakah Engkau begitu murka terhadap umat-Mu yang telah Engkau bebaskan dari Mesir, dengan kuasa dan kekuatan yang besar?

12. Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau membawa mereka keluar dari Mesir justeru untuk membunuh mereka di pergunungan dan membinasakan mereka sama sekali. Janganlah murka lagi, ubahlah niat-Mu dan janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu.

13. Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Yakub. Ingatlah akan janji-Mu kepada mereka untuk mengurniai mereka keturunan sebanyak bintang di langit, dan memberi mereka seluruh tanah ini untuk menjadi milik mereka selama-lamanya.”

14. Oleh itu TUHAN mengubah niat-Nya dan tidak melaksanakan ancaman-Nya untuk menimpakan bencana kepada umat-Nya.

15. Musa turun dari gunung sambil membawa dua buah batu tulis yang bertuliskan perintah Allah pada kedua-dua mukanya.

16. Allah sendiri telah membuat dua buah batu tulis itu dan mengukirkan perintah-Nya di situ.

17. Yosua mendengar orang Israel berteriak-teriak, lalu berkata kepada Musa, “Saya mendengar bunyi pertempuran di perkhemahan.”

18. Musa berkata, “Bunyi itu bukan suara kemenangan ataupun kekalahan; bunyi itu suara orang menyanyi.”

19. Apabila Musa menghampiri perkhemahan lalu melihat patung lembu daripada emas itu dan rakyat menari-nari, dia naik marah. Di situ, di kaki gunung, dia membanting batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkeping-keping.

20. Musa mengambil patung lembu daripada emas yang dibuat mereka itu, lalu melebur dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk halus, kemudian dia mencampurnya dengan air. Selepas itu Musa menyuruh orang Israel minum air itu.

21. Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga engkau membiarkan mereka berdosa besar?”

22. Harun menjawab, “Janganlah marah kepadaku. Engkau tahu betapa nekadnya umat ini untuk melakukan kejahatan.

Keluaran 32