Keluaran 30:18-33 Alkitab Berita Baik (BM)

18. “Buatlah sebuah besen daripada gangsa dengan alasnya daripada gangsa juga. Letakkan besen itu di antara Khemah dan mazbah, dan isilah besen itu dengan air.

19. Harun dan anak-anaknya mesti menggunakan air itu untuk membasuh tangan dan kaki,

20. sebelum masuk ke dalam Khemah atau mendekati mazbah untuk mempersembahkan persembahan makanan. Dengan demikian mereka tidak akan dibunuh.

21. Mereka mesti membasuh tangan dan kaki supaya mereka tidak mati. Peraturan ini mesti ditaati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya.”

22. TUHAN berfirman kepada Musa,

23. “Ambillah rempah-rempah yang terbaik: enam kilogram mur cecair, tiga kilogram kulit kayu manis yang harum, tiga kilogram tebu yang harum,

24. enam kilogram kayu teja (semuanya ditimbang mengikut timbangan yang digunakan di dalam Khemah-Ku), dan empat liter minyak zaitun,

25. lalu buatlah minyak upacara yang dicampur seperti minyak wangi.

26. Gunakanlah minyak upacara itu untuk melumuri Khemah-Ku, Tabut Perjanjian,

27. meja dan segala peralatannya, kaki pelita dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan,

28. mazbah tempat membakar korban serta segala peralatannya, dan besen serta alasnya.

29. Engkau harus mentahbiskan segala barang itu dengan cara demikian, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci. Apa sahaja yang kena alat-alat itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh semua itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.

30. Tuanglah minyak upacara pada Harun dan anak-anaknya supaya mereka ditahbiskan menjadi imam untuk mengabdikan diri kepada-Ku.

31. Beritahulah umat Israel bahawa minyak upacara yang suci itu khas untuk Aku selama-lamanya.

32. Minyak upacara itu tidak boleh dituang pada orang biasa, dan campuran yang sama tidak boleh digunakan untuk membuat minyak lain. Minyak upacara itu suci dan mesti dianggap suci.

33. Sesiapa yang membuat minyak seperti minyak upacara, atau yang menggunakan minyak itu bagi orang yang bukan imam, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.”

Keluaran 30