1. “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan.
2. Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, 45 sentimeter panjang dan 45 sentimeter lebar, dan 90 sentimeter tinggi. Unjuran di keempat-empat sudutnya mesti seiras dengan mazbah itu.
3. Salutilah bahagian atasnya, keempat-empat sisinya serta unjuran-unjurannya dengan emas tulen, dan buatlah bingkai emas di sekelilingnya.
4. Buatlah dua gelang daripada emas, dan pasanglah gelang itu di bawah bingkai pada kedua-dua sisinya, untuk menyangga kayu pengusung mazbah.
5. Kayu-kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas.
6. Letakkan mazbah ini di luar tirai yang tergantung di hadapan Tabut Perjanjian, di tempat Aku akan bertemu dengan engkau.
7. Setiap pagi, apabila Harun menyiapkan pelita, dia mesti membakar kemenyan yang berbau harum di atas mazbah itu.
8. Dia mesti melakukan hal yang sama apabila dia memasang pelita itu pada waktu petang. Persembahan kemenyan ini mesti dilakukan terus-menerus sepanjang masa.
9. Di atas mazbah ini, jangan persembahkan sebarang kemenyan yang dilarang, atau korban berupa binatang, atau korban berupa bijirin; jangan curahkan sebarang korban berupa wain di atasnya.
10. Setahun sekali Harun mesti melakukan upacara penyucian mazbah dengan menyapukan darah binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, pada keempat-empat unjuran mazbah itu. Hal ini mesti dilakukan tiap-tiap tahun selama-lamanya. Mazbah ini mesti suci seluruhnya dan ditahbiskan kepada-Ku, TUHAN.”
11. TUHAN berfirman kepada Musa,
12. “Apabila engkau membanci umat Israel, setiap orang lelaki mesti membayar wang tebusan untuk dirinya kepada-Ku, supaya dia tidak ditimpa bencana ketika pembancian itu dijalankan.
13. Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu mesti membayar jumlah wang yang ditentukan, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Setiap orang mesti membayar jumlah itu sebagai persembahan kepada-Ku.
14. Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu, iaitu setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas mesti membayar jumlah itu.
15. Orang kaya tidak boleh membayar lebih dan orang miskin tidak boleh membayar kurang, apabila mereka membayar wang tebusan untuk diri mereka.