Keluaran 29:37-46 Alkitab Berita Baik (BM)

37. Lakukanlah hal itu setiap hari selama tujuh hari. Maka seluruh mazbah itu akan menjadi suci, lalu apa sahaja yang kena mazbah itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh mazbah itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.”

38. “Setiap hari sampai selama-lamanya, kamu harus mempersembahkan dua ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban, di atas mazbah itu.

39. Seekor anak domba harus dipersembahkan pada waktu pagi dan seekor lagi pada waktu petang.

40. Bersama dengan anak domba yang pertama, persembahkanlah satu kilogram tepung gandum terbaik, yang dicampuri satu liter minyak zaitun tulen. Tuangkan satu liter wain sebagai persembahan.

41. Kemudian persembahkanlah anak domba yang kedua pada waktu petang. Bersama dengan anak domba itu, persembahkanlah tepung gandum, minyak zaitun, dan wain yang sama banyak seperti pada waktu pagi. Itulah persembahan makanan kepada-Ku, TUHAN, dan baunya menyenangkan hati-Ku.

42. Untuk selama-lamanya, korban untuk menyenangkan hati-Ku harus dipersembahkan di hadirat-Ku di pintu Khemah-Ku. Di situlah Aku akan bertemu dengan umat-Ku dan berfirman kepadamu.

43. Di situ Aku akan bertemu dengan umat Israel, dan cahaya yang berkilau-kilauan daripada hadirat-Ku akan menyucikan tempat itu.

44. Aku akan menyucikan Khemah dan mazbah itu, dan Aku akan mengkhususkan Harun dan anak-anaknya untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

45. Aku akan tinggal bersama dengan umat Israel, dan Aku akan menjadi Allah mereka.

46. Mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka yang telah membawa mereka keluar dari Mesir, supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka. Akulah TUHAN, Allah mereka.”

Keluaran 29