21. Ambil sedikit darah yang di atas mazbah dan sedikit minyak upacara, lalu renjiskan semuanya pada Harun dan pakaiannya, dan juga pada anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini, Harun, anak-anaknya, serta pakaian mereka akan ditahbiskan untuk-Ku.
22. Ambillah lemak domba jantan itu, ekornya yang berlemak, lemak yang meliputi isi perut, bahagian yang paling baik pada hati, dua biji buah pinggang dengan lemaknya, serta paha kanan domba.
23. Dari bakul roti yang telah dipersembahkan kepada-Ku, ambillah satu daripada tiap-tiap jenis roti itu: satu yang dibuat dengan minyak zaitun, satu yang dibuat tanpa minyak zaitun, dan satu roti nipis.
24. Letakkan semua roti ini di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu suruh mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa.
25. Kemudian ambillah semua roti itu daripada mereka dan bakarlah di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati-Ku, sebagai persembahan makanan.
26. Ambillah dada domba jantan itu dan persembahkannya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Dada domba jantan itu untukmu.
27. Apabila seorang imam ditahbiskan, dada dan paha domba jantan yang digunakan untuk upacara pentahbisan itu harus dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa, lalu diasingkan untuk para imam.
28. Inilah keputusan-Ku yang tidak dapat diubah: Apabila umat-Ku datang untuk mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dada dan paha binatang itu harus diberikan kepada imam-imam. Bahagian itulah persembahan daripada umat-Ku kepada Aku, TUHAN.
29. Pakaian imam kepunyaan Harun harus diwariskan kepada anak-anaknya selepas dia meninggal, agar mereka dapat memakainya apabila ditahbiskan.
30. Anak Harun yang menggantikan Harun sebagai imam, dan yang memasuki Khemah-Ku untuk bertugas di dalam Bilik Suci, harus memakai pakaian itu selama tujuh hari.
31. Ambillah daging domba jantan yang digunakan untuk pentahbisan Harun dan anak-anaknya, lalu rebuslah daging itu di tempat yang suci.
32. Harun dan anak-anaknya mesti makan daging domba itu serta sisa roti di dalam bakul, di pintu masuk Khemah hadirat-Ku.
33. Mereka mesti makan apa yang digunakan dalam upacara pengampunan dosa pada masa pentahbisan mereka. Hanya imam yang boleh makan makanan itu kerana makanan itu suci.
34. Jika pada keesokan paginya, masih ada daging atau roti yang tidak habis dimakan, makanan itu mesti dibakar dan tidak boleh dimakan kerana makanan itu suci.
35. Lakukanlah upacara pentahbisan Harun dan anak-anaknya selama tujuh hari seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.
36. Tiap-tiap hari engkau mesti mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Korban ini akan menyucikan mazbah. Kemudian lumurilah mazbah itu dengan minyak zaitun untuk menyucikannya.
37. Lakukanlah hal itu setiap hari selama tujuh hari. Maka seluruh mazbah itu akan menjadi suci, lalu apa sahaja yang kena mazbah itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh mazbah itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.”
38. “Setiap hari sampai selama-lamanya, kamu harus mempersembahkan dua ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban, di atas mazbah itu.
39. Seekor anak domba harus dipersembahkan pada waktu pagi dan seekor lagi pada waktu petang.
40. Bersama dengan anak domba yang pertama, persembahkanlah satu kilogram tepung gandum terbaik, yang dicampuri satu liter minyak zaitun tulen. Tuangkan satu liter wain sebagai persembahan.
41. Kemudian persembahkanlah anak domba yang kedua pada waktu petang. Bersama dengan anak domba itu, persembahkanlah tepung gandum, minyak zaitun, dan wain yang sama banyak seperti pada waktu pagi. Itulah persembahan makanan kepada-Ku, TUHAN, dan baunya menyenangkan hati-Ku.