18. Bakarlah seluruh domba jantan itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan.
19. Ambillah domba jantan yang seekor lagi, iaitu domba yang digunakan untuk upacara pentahbisan. Suruh Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan ke atas kepala domba jantan itu.
20. Sembelihlah domba jantan itu. Kemudian ambil sedikit darahnya dan sapukan darah itu pada cuping telinga kanan Harun dan anak-anaknya, dan pada ibu jari tangan kanan, serta pada ibu jari kaki kanan mereka. Siramkan sisa darah itu pada keempat-empat sisi mazbah itu.
21. Ambil sedikit darah yang di atas mazbah dan sedikit minyak upacara, lalu renjiskan semuanya pada Harun dan pakaiannya, dan juga pada anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini, Harun, anak-anaknya, serta pakaian mereka akan ditahbiskan untuk-Ku.
22. Ambillah lemak domba jantan itu, ekornya yang berlemak, lemak yang meliputi isi perut, bahagian yang paling baik pada hati, dua biji buah pinggang dengan lemaknya, serta paha kanan domba.