Keluaran 29:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

1. “Inilah yang patut engkau lakukan untuk mentahbiskan Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Ambillah seekor anak lembu jantan dan dua ekor domba jantan yang tidak ada kecacatan.

2. Gunakan tepung yang terbaik, tetapi tidak beragi untuk membuat roti. Sebahagian roti itu dibuat dengan menggunakan minyak zaitun, sebahagian lagi tanpa minyak zaitun, dan sebahagian lagi dibuat roti nipis yang disapu dengan minyak.

3. Letakkan semua roti itu di dalam bakul dan persembahkanlah semuanya kepada-Ku ketika kamu mempersembahkan lembu jantan dan dua ekor domba jantan sebagai korban.

4. Bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah-Ku dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka.

5. Kemudian kenakan pakaian imam pada Harun: baju labuh, jubah yang dipakai di bawah efod, efod, dan penutup dada dengan ikat pinggangnya.

6. Pakaikan serban di atas kepalanya, dan sematkan perhiasan yang berukir ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada serban itu.

7. Kemudian ambillah minyak upacara dan tuangkan ke atas kepalanya untuk mentahbiskan dia.

8. Selepas itu, suruhlah anak-anak Harun datang dan pakaikan baju labuh pada mereka;

9. pakaikan juga ikat pinggang pada mereka, dan kenakan ikat kepala pada mereka. Demikianlah caranya engkau mentahbiskan Harun serta anak-anaknya. Mereka dan keturunan mereka harus mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam selama-lamanya.

10. Kemudian bawalah lembu jantan itu ke hadapan Khemah-Ku. Suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu jantan itu.

11. Sembelihlah lembu itu di hadirat-Ku, di hadapan pintu masuk Khemah.

12. Ambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarimu sapukan darah itu pada unjuran-unjuran mazbah. Kemudian tuangkan sisa darah itu di bahagian bawah mazbah.

13. Selepas itu, ambil semua lemak yang meliputi isi perut lembu itu, dan bahagian yang paling baik pada hati, dan dua biji buah pinggang dengan lemaknya; bakarlah semuanya di atas mazbah sebagai persembahan kepada-Ku.

14. Tetapi bakarlah daging, kulit, dan usus lembu jantan itu di luar perkhemahan. Itulah persembahan korban untuk pengampunan dosa para imam.

15. Ambillah seekor daripada domba jantan itu, lalu suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba itu.

Keluaran 29