Keluaran 28:29-43 Alkitab Berita Baik (BM)

29. Apabila Harun masuk ke Bilik Suci, dia harus memakai penutup dada yang berukirkan nama-nama suku Israel, supaya Aku, TUHAN sentiasa ingat akan umat-Ku.

30. Letakkan Urim dan Tumim dalam penutup dada itu supaya dapat dibawa oleh Harun apabila dia masuk ke hadirat-Ku yang suci. Pada saat-saat seperti itu dia mesti sentiasa memakai penutup dada itu untuk mengetahui kehendak-Ku bagi umat Israel.”

31. “Jubah yang dipakai di bawah efod harus seluruhnya dibuat daripada kain bulu berwarna biru.

32. Lubang leher jubah itu harus diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak.

33-34. Pada sekeliling kelepet sebelah bawah, buatlah hiasan berbentuk buah delima daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, diselang-seli dengan loceng emas.

35. Jubah itu harus dipakai oleh Harun ketika dia bertugas sebagai imam. Apabila dia masuk ke hadirat-Ku di Bilik Suci, atau apabila dia meninggalkan tempat itu, bunyi loceng akan terdengar dan dia tidak akan dibunuh.

36. Buatlah satu perhiasan daripada emas tulen dan ukirkan perkataan, ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada perhiasan itu.

37. Ikatkan perhiasan itu pada sebelah depan serban dengan tali biru.

38. Harun harus memakainya pada dahinya. Dengan cara ini Aku, TUHAN akan menerima segala persembahan yang diberikan oleh umat Israel kepada-Ku, walaupun mereka membuat kesalahan ketika mempersembahkan persembahan itu.

39. Baju labuh untuk Harun harus ditenun daripada kain linen halus. Buatlah juga serban daripada kain linen halus, dan ikat pinggang yang bersulam.

40. Buatlah baju labuh, ikat pinggang, dan ikat kepala untuk anak-anak Harun supaya mereka kelihatan terhormat.

41. Kenakanlah pakaian itu pada Harun dan anak-anaknya. Kemudian tahbiskanlah dan khaskanlah mereka dengan menuangkan minyak zaitun pada mereka, supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

42. Buatlah celana pendek daripada kain linen untuk mereka. Panjang celana itu dari pinggang sampai ke paha, untuk menutupi bahagian tubuh yang tidak wajar dilihat.

43. Harun dan anak-anaknya harus selalu memakai celana itu apabila mereka masuk ke Khemah-Ku, ataupun menghadap mazbah untuk bertugas sebagai imam di Bilik Suci, supaya mereka tidak mati kerana mendedahkan bahagian tubuh mereka yang tidak wajar dilihat. Inilah peraturan tetap untuk Harun dan keturunannya.”

Keluaran 28