17. Tiap-tiap tahun, pada masa tiga perayaan itu, semua orang lelaki mesti datang beribadat kepada-Ku, TUHAN, Allah kamu.
18. Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Lemak binatang yang dipersembahkan kepada-Ku selama perayaan-perayaan ini tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi.
19. Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama yang terbaik daripada tanaman kamu, ke rumah TUHAN, Allah kamu.Jangan masak anak domba atau anak kambing di dalam air susu induknya.”
20. “Aku akan mengutus malaikat-Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan.
21. Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan-Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian.
22. Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah-Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu.
23. Malaikat-Ku akan mendahului kamu serta membawa kamu ke negeri orang Amori, Het, Feris, Kanaan, Hewi, dan Yebusi; Aku akan membinasakan mereka.
24. Jangan sujud atau sembah kepada tuhan-tuhan mereka. Jangan tiru cara mereka bersembahyang. Hancurkanlah tuhan-tuhan mereka dan patahkan tiang-tiang batu yang digunakan mereka untuk beribadat.
25. Jika kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, Aku akan memberkati kamu dengan makanan serta minuman, dan menghapuskan segala penyakit kamu.
26. Di negeri kamu, tiada perempuan yang akan keguguran atau mandul. Aku akan mengurniakan usia panjang kepada kamu.
27. Aku akan menjadikan bangsa yang menentang kamu takut kepada-Ku. Aku akan mendatangkan kekeliruan antara bangsa yang kamu lawan, dan Aku akan menyebabkan semua musuh berpaling dan lari daripada kamu.
28. Aku akan mengacau-bilaukan musuh apabila kamu mara; Aku akan mengusir orang Hewi, Kanaan, dan Het.