5. Jika seseorang membiarkan ternakannya meragut rumput di ladang ataupun ladang anggur, lalu ternakan itu berkeliaran dan makan tanaman di ladang orang lain, pemilik ternakan itu mesti membayar ganti rugi dengan hasil yang terbaik dari ladang atau ladang anggurnya sendiri.
6. Jika seseorang menyalakan api di ladangnya, lalu api itu menyambar semak-semak dan merambat ke ladang orang lain sehingga membakar gandum yang sedang tumbuh ataupun gandum yang sudah diberkas, orang yang menyalakan api itu mesti membayar ganti rugi.
7. Jika seseorang setuju menyimpan titipan berupa wang atau barang berharga, lalu barang-barang itu dicuri dari rumahnya, pencuri itu mesti membayar dua kali ganda, jika dia kedapatan.
8. Tetapi jika pencuri tidak kedapatan, orang yang dititipi itu mesti dibawa ke tempat ibadat, lalu bersumpah bahawa dia tidak mencuri barang yang dititipkan padanya.
9. Bagi tiap-tiap perselisihan faham tentang harta benda, sama ada lembu, keldai, domba, pakaian, ataupun barang-barang yang hilang, kedua-dua orang yang mengaku sebagai pemiliknya mesti dibawa ke tempat ibadat. Orang yang ditunjukkan Allah sebagai orang yang bersalah, mesti membayar dua kali ganda kepada pemilik sebenar.
10. Jika seseorang setuju memelihara keldai, lembu, domba, ataupun binatang lain kepunyaan orang lain, kemudian binatang itu mati, terluka, ataupun dirampas musuh tetapi tidak ada saksinya;
11. dalam hal itu, orang yang memelihara binatang itu mesti pergi ke tempat ibadat lalu bersumpah demi nama TUHAN bahawa dia tidak mencuri binatang itu. Jika memang bukan dia yang mencuri binatang itu, pemilik binatang itu mesti menanggung kerugian, dan orang yang memelihara binatang itu tidak perlu membayar ganti rugi;
12. tetapi jika binatang itu dicuri, dia mesti membayar ganti rugi kepada pemiliknya.
13. Jika ternakan itu diterkam oleh binatang buas, orang itu mesti menunjukkan sisa-sisa tulang binatang itu sebagai bukti kepada pemiliknya. Dalam hal ini dia tidak perlu membayar ganti rugi bagi binatang itu.
14. Jika seseorang meminjam seekor binatang, lalu binatang itu terluka atau mati ketika pemiliknya tidak ada di tempat kejadian itu, orang yang meminjamnya mesti membayar ganti rugi.
15. Tetapi jika hal itu terjadi ketika pemiliknya ada di situ, orang itu tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, kerugiannya sudah dibayar oleh bayaran sewa.”
16. “Jika seorang lelaki menggoda seorang anak dara yang belum bertunang, dan bersetubuh dengannya, lelaki itu mesti membayar mas kahwin, dan berkahwin dengannya.
17. Tetapi jika bapa anak dara itu tidak membenarkan lelaki itu mengahwini anaknya, lelaki itu mesti membayar wang sebanyak mas kahwin bagi seorang anak dara kepada bapa itu.