Keluaran 21:6-21 Alkitab Berita Baik (BM)

6. tuannya harus membawa dia ke tempat ibadat. Di situ abdi itu disuruh berdiri dan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinga abdi itu. Dengan demikian abdi itu akan menjadi abdi tuannya seumur hidup.

7. Jika seorang bapa menjual anak perempuannya sebagai abdi, abdi perempuan itu tidak boleh dibebaskan seperti abdi lelaki.

8. Jika perempuan itu dijual kepada seorang lelaki dengan maksud dia menjadi isteri lelaki itu, tetapi jika lelaki itu tidak suka akan dia, maka perempuan itu mesti dijual balik kepada bapanya. Tuannya tidak boleh menjual perempuan itu kepada orang asing kerana tuannya tidak memperlakukan dia dengan adil.

9. Jika seorang bapa membeli seorang abdi perempuan untuk dikahwinkan kepada anak lelakinya, bapa itu mesti memperlakukan abdi itu sebagai anak perempuannya sendiri.

10. Jika anak lelaki itu berkahwin lagi, dia tetap mempunyai kewajipan untuk memberikan makanan dan pakaian serta hak seperti biasa kepada isterinya yang pertama.

11. Jika dia tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isterinya itu, dia mesti membebaskannya tanpa menerima bayaran apa-apa pun.”

12. “Sesiapa yang memukul dan membunuh orang lain mesti dihukum mati.

13. Tetapi jika dia tidak sengaja dan tidak berniat untuk membunuhnya, orang itu boleh melarikan diri ke suatu tempat yang akan Aku tunjukkan kepada kamu. Di situ orang itu akan mendapat perlindungan.

14. Tetapi jika seseorang naik marah lalu dengan sengaja membunuh orang lain, dia mesti dihukum mati walaupun dia lari ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan.

15. Sesiapa yang memukul bapanya atau ibunya mesti dihukum mati.

16. Sesiapa yang menculik orang, sama ada sudah dijual ataupun masih di rumahnya, penculik itu mesti dihukum mati.

17. Sesiapa yang mengutuk bapanya ataupun ibunya mesti dihukum mati.

18. Jika dalam suatu pergaduhan, seseorang memukul orang lain dengan batu atau memukul dia dengan tinju, tetapi tidak membunuhnya, orang itu tidak akan dihukum. Jika orang yang dipukul itu harus berbaring akibat pukulan itu,

19. tetapi kemudian dapat bangun dan berjalan dengan menggunakan tongkat, orang yang memukulnya itu mesti membayar ganti rugi selama orang itu sakit, dan merawatnya sehingga sembuh.

20. Jika seseorang memukul abdinya dengan kayu, sama ada abdi itu lelaki ataupun perempuan, lalu abdi itu mati dengan serta-merta, orang yang memukul abdi itu mesti dihukum.

21. Tetapi jika abdi itu tidak mati selepas satu atau dua hari, tuannya tidak akan dihukum. Kehilangan abdi itu sudah merupakan hukuman baginya.

Keluaran 21