Keluaran 21:27-36 Alkitab Berita Baik (BM)

27. Jika seseorang memukul abdinya sampai patah gigi abdinya, dia mesti membebaskan abdinya itu sebagai pembayaran ganti rugi untuk gigi itu.”

28. “Jika seekor lembu jantan menanduk seseorang sehingga orang itu mati, lembu jantan itu mesti direjam dan dagingnya tidak boleh dimakan, tetapi pemiliknya tidak akan dihukum.

29. Tetapi jika lembu jantan itu selalu menyerang orang, dan pemiliknya sudah diberikan peringatan tetapi dia tidak mengurung lembu jantan itu, lalu jika lembu jantan itu menanduk seseorang sehingga orang itu mati, lembu jantan itu mesti direjam dan pemiliknya juga mesti dihukum mati.

30. Tetapi jika pemilik itu dibenarkan membayar denda, dia mesti membayar seberapa banyak yang diminta untuk menebus nyawanya.

31. Jika lembu jantan itu membunuh seorang anak lelaki atau seorang anak perempuan, peraturan yang sama harus diikuti.

32. Jika lembu jantan itu membunuh seorang abdi lelaki atau seorang abdi perempuan, pemilik lembu jantan itu mesti membayar pemilik abdi itu sebanyak tiga puluh keping wang perak, dan lembu jantan itu mesti direjam sampai mati.

33. Jika seseorang membuka penutup perigi ataupun menggali perigi tanpa menutupnya, lalu seekor lembu jantan atau keldai jatuh ke dalam perigi itu,

34. pemilik perigi itu mesti membayar ganti rugi kepada pemilik ternakan itu, tetapi dia boleh mengambil ternakan yang mati itu bagi dirinya.

35. Jika lembu jantan milik seseorang membunuh lembu jantan orang lain, kedua-dua orang itu mesti menjual lembu yang hidup itu lalu membahagikan wang harganya. Mereka juga mesti membahagikan daging lembu jantan yang sudah mati itu.

36. Tetapi jika sudah diketahui bahawa lembu jantan itu sering menanduk lembu lain dan pemiliknya tidak mengurung lembu jantan itu, dia mesti membayar ganti rugi dengan lembu jantan yang hidup, dan mengambil lembu jantan yang sudah mati itu bagi dirinya.”

Keluaran 21