Keluaran 21:10-26 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Jika anak lelaki itu berkahwin lagi, dia tetap mempunyai kewajipan untuk memberikan makanan dan pakaian serta hak seperti biasa kepada isterinya yang pertama.

11. Jika dia tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isterinya itu, dia mesti membebaskannya tanpa menerima bayaran apa-apa pun.”

12. “Sesiapa yang memukul dan membunuh orang lain mesti dihukum mati.

13. Tetapi jika dia tidak sengaja dan tidak berniat untuk membunuhnya, orang itu boleh melarikan diri ke suatu tempat yang akan Aku tunjukkan kepada kamu. Di situ orang itu akan mendapat perlindungan.

14. Tetapi jika seseorang naik marah lalu dengan sengaja membunuh orang lain, dia mesti dihukum mati walaupun dia lari ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan.

15. Sesiapa yang memukul bapanya atau ibunya mesti dihukum mati.

16. Sesiapa yang menculik orang, sama ada sudah dijual ataupun masih di rumahnya, penculik itu mesti dihukum mati.

17. Sesiapa yang mengutuk bapanya ataupun ibunya mesti dihukum mati.

18. Jika dalam suatu pergaduhan, seseorang memukul orang lain dengan batu atau memukul dia dengan tinju, tetapi tidak membunuhnya, orang itu tidak akan dihukum. Jika orang yang dipukul itu harus berbaring akibat pukulan itu,

19. tetapi kemudian dapat bangun dan berjalan dengan menggunakan tongkat, orang yang memukulnya itu mesti membayar ganti rugi selama orang itu sakit, dan merawatnya sehingga sembuh.

20. Jika seseorang memukul abdinya dengan kayu, sama ada abdi itu lelaki ataupun perempuan, lalu abdi itu mati dengan serta-merta, orang yang memukul abdi itu mesti dihukum.

21. Tetapi jika abdi itu tidak mati selepas satu atau dua hari, tuannya tidak akan dihukum. Kehilangan abdi itu sudah merupakan hukuman baginya.

22. Jika ada beberapa orang lelaki bergaduh lalu mencederakan seorang perempuan hamil sehingga dia keguguran, tetapi perempuan itu sendiri tidak cedera pada bahagian lain, orang yang mencederakan perempuan itu mesti didenda menurut permintaan suami perempuan itu, dengan persetujuan para hakim.

23. Tetapi jika perempuan itu sendiri cedera, hukumannya adalah nyawa ganti nyawa,

24. mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, kaki ganti kaki,

25. luka bakar ganti luka bakar, luka ganti luka, dan lebam ganti lebam.

26. Jika seseorang memukul mata abdinya, lelaki ataupun perempuan, lalu menyebabkan mata itu buta, dia mesti membebaskan abdinya itu sebagai pembayaran ganti rugi untuk mata itu.

Keluaran 21