Keluaran 21:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berikanlah hukum-hukum ini kepada umat Israel:

2. Jika kamu membeli seorang abdi bangsa Ibrani, dia harus bekerja untuk kamu selama enam tahun. Pada tahun ketujuh dia mesti dibebaskan tanpa membayar apa-apa pun kepada kamu.

3. Jika dia masih bujang ketika dia menjadi abdi kamu, maka isterinya tidak boleh ikut apabila dia dibebaskan. Tetapi jika dia sudah berkahwin ketika dia menjadi abdi kamu, dia boleh pergi bersama dengan isterinya.

4. Jika tuannya mengahwinkan dia dengan seorang perempuan, lalu isterinya melahirkan beberapa orang anak lelaki atau perempuan, isteri dan anak-anaknya itu milik tuannya, dan tidak boleh ikut apabila abdi itu dibebaskan.

5. Tetapi jika abdi itu mengaku mengasihi tuannya, isterinya serta anak-anaknya, dan tidak mahu dibebaskan,

6. tuannya harus membawa dia ke tempat ibadat. Di situ abdi itu disuruh berdiri dan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinga abdi itu. Dengan demikian abdi itu akan menjadi abdi tuannya seumur hidup.

7. Jika seorang bapa menjual anak perempuannya sebagai abdi, abdi perempuan itu tidak boleh dibebaskan seperti abdi lelaki.

8. Jika perempuan itu dijual kepada seorang lelaki dengan maksud dia menjadi isteri lelaki itu, tetapi jika lelaki itu tidak suka akan dia, maka perempuan itu mesti dijual balik kepada bapanya. Tuannya tidak boleh menjual perempuan itu kepada orang asing kerana tuannya tidak memperlakukan dia dengan adil.

9. Jika seorang bapa membeli seorang abdi perempuan untuk dikahwinkan kepada anak lelakinya, bapa itu mesti memperlakukan abdi itu sebagai anak perempuannya sendiri.

10. Jika anak lelaki itu berkahwin lagi, dia tetap mempunyai kewajipan untuk memberikan makanan dan pakaian serta hak seperti biasa kepada isterinya yang pertama.

11. Jika dia tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isterinya itu, dia mesti membebaskannya tanpa menerima bayaran apa-apa pun.”

12. “Sesiapa yang memukul dan membunuh orang lain mesti dihukum mati.

13. Tetapi jika dia tidak sengaja dan tidak berniat untuk membunuhnya, orang itu boleh melarikan diri ke suatu tempat yang akan Aku tunjukkan kepada kamu. Di situ orang itu akan mendapat perlindungan.

14. Tetapi jika seseorang naik marah lalu dengan sengaja membunuh orang lain, dia mesti dihukum mati walaupun dia lari ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan.

15. Sesiapa yang memukul bapanya atau ibunya mesti dihukum mati.

16. Sesiapa yang menculik orang, sama ada sudah dijual ataupun masih di rumahnya, penculik itu mesti dihukum mati.

17. Sesiapa yang mengutuk bapanya ataupun ibunya mesti dihukum mati.

18. Jika dalam suatu pergaduhan, seseorang memukul orang lain dengan batu atau memukul dia dengan tinju, tetapi tidak membunuhnya, orang itu tidak akan dihukum. Jika orang yang dipukul itu harus berbaring akibat pukulan itu,

Keluaran 21