10. tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau bangsa asing yang tinggal di negeri kamu.
11. Dalam masa enam hari Aku, TUHAN, telah menciptakan bumi, langit, laut, dan semua yang ada di dalam segalanya itu, tetapi pada hari yang ketujuh Aku berehat. Itulah sebabnya Aku, TUHAN, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya bagi-Ku.
12. Hormatilah bapa dan ibu kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku berikan kepada kamu.
13. Jangan membunuh.
14. Jangan berzina.
15. Jangan mencuri.
16. Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain.
17. Jangan ingini kepunyaan orang lain: rumahnya, isterinya, abdinya, ternakannya, keldainya atau apa-apa pun miliknya.”
18. Apabila orang Israel mendengar bunyi guruh dan trompet, serta melihat kilat dan gunung berasap, mereka gementar ketakutan lalu berdiri jauh dari situ.
19. Mereka berkata kepada Musa, “Jika tuan bercakap kepada kami, kami akan mendengar. Tetapi jika Allah berfirman kepada kami, kami akan mati.”
20. Musa menjawab, “Jangan takut; Allah datang hanya untuk menguji kamu, supaya kamu tetap taat kepada-Nya dan supaya kamu tidak berdosa.”
21. Tetapi umat itu masih berdiri jauh dari situ, dan hanya Musa yang menghampiri awan gelap di tempat Allah berada.
22. TUHAN menyuruh Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah melihat bagaimana Aku, TUHAN telah berfirman kepada kamu dari langit.
23. Jangan buat berhala bagi diri kamu – berhala daripada perak ataupun emas untuk disembah di samping Aku.
24. Binalah mazbah daripada tanah bagi-Ku; di atasnya persembahkanlah domba dan lembu kamu sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Di setiap tempat yang Aku tentukan bagi kamu untuk beribadat kepada-Ku, Aku akan datang dan memberkati kamu.
25. Jika kamu membina mazbah daripada batu untuk-Ku, jangan binanya daripada batu yang dipahat, kerana apabila kamu menggunakan pahat padanya, batu itu tidak lagi layak untuk-Ku.