Keluaran 2:2-8 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa comelnya bayi itu, dia menyembunyikan bayinya selama tiga bulan.

3. Tetapi dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lebih lama lagi. Oleh itu dia mengambil sebuah bakul yang dibuat daripada gelagah, lalu dia memakal bakul itu dengan gala-gala dan minyak tar supaya tidak dapat dimasuki air. Dia meletakkan bayinya di dalam bakul itu, lalu menaruhnya di tengah-tengah rumpun gelagah di pinggir sungai.

4. Kakak bayi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu.

5. Pada masa itu puteri raja turun ke sungai untuk bersiram, sementara dayang-dayangnya berjalan-jalan di pinggir sungai. Tiba-tiba puteri raja ternampak bakul di tengah-tengah rumpun gelagah. Puteri raja menyuruh seorang hamba perempuan untuk mengambil bakul itu.

6. Puteri raja membuka bakul itu lalu nampak seorang bayi lelaki sedang menangis. Puteri raja berasa kasihan terhadap bayi itu dan berkata, “Inilah seorang daripada bayi Ibrani.”

7. Kemudian kakak bayi itu bertanya kepada puteri itu, “Tuan puteri, sudikah tuan puteri sekiranya hamba pergi mendapatkan seorang perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini?”

8. Puteri raja menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi dan memanggil ibu bayi itu sendiri.

Keluaran 2