Keluaran 19:13-25 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Orang itu mesti direjam ataupun dipanah, dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Peraturan ini berlaku kepada manusia dan binatang; semua yang melintasi sempadan itu tidak boleh dibiarkan hidup. Tetapi apabila kedengaran bunyi panjang dari trompet, umat harus mendaki gunung.”

14. Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh umat bersiap untuk beribadat. Mereka membasuh pakaian,

15. lalu Musa berkata kepada mereka, “Bersiaplah untuk hari lusa, dan sementara ini kamu tidak boleh bersetubuh.”

16. Pada hari yang ketiga, pada waktu pagi, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal kelihatan di situ, dan bunyi trompet yang kuat sekali kedengaran. Segenap umat di perkhemahan itu gementar ketakutan.

17. Musa membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung.

18. Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana TUHAN telah turun ke atasnya di dalam api. Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat.

19. Bunyi trompet semakin kuat. Musa berkata-kata dan Allah menjawabnya dengan guruh.

20. TUHAN turun di atas puncak Gunung Sinai, lalu memanggil Musa ke atas gunung itu. Musa mendaki gunung,

21. lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Turunlah dan ingatkan umat supaya tidak melintasi sempadan itu untuk melihat Aku. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan mati.

22. Imam-imam sekalipun yang datang menghampiri Aku mesti menyucikan diri. Jika tidak, Aku akan menghukum mereka.”

23. Musa berkata kepada TUHAN, “Umat tidak dapat naik ke sini, kerana Engkau telah menyuruh kami menganggap gunung ini suci dan membuat sempadan di sekelilingnya.”

24. TUHAN menjawab, “Turunlah, lalu baliklah ke sini bersama-sama Harun. Tetapi para imam dan umat yang lain tidak boleh melintasi sempadan itu untuk datang kepada-Ku. Jika mereka melintasinya, Aku akan menghukum mereka.”

25. Kemudian Musa turun untuk menemui umat dan memberitahu mereka apa yang telah difirmankan TUHAN.

Keluaran 19