Keluaran 19:10-22 Alkitab Berita Baik (BM)

10. TUHAN berfirman kepadanya, “Pergilah menemui umat dan suruh mereka menyucikan diri pada hari ini dan esok. Mereka mesti membasuh pakaian mereka

11. dan siap pada hari lusa. Pada hari itu Aku akan turun ke Gunung Sinai. Di situ segenap umat akan dapat melihat Aku.

12. Buatlah sempadan di sekeliling gunung itu supaya umat tidak melintasinya. Beritahulah mereka supaya tidak naik ke gunung itu ataupun mendekatinya. Sesiapa yang melintasi sempadan itu akan dihukum mati.

13. Orang itu mesti direjam ataupun dipanah, dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Peraturan ini berlaku kepada manusia dan binatang; semua yang melintasi sempadan itu tidak boleh dibiarkan hidup. Tetapi apabila kedengaran bunyi panjang dari trompet, umat harus mendaki gunung.”

14. Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh umat bersiap untuk beribadat. Mereka membasuh pakaian,

15. lalu Musa berkata kepada mereka, “Bersiaplah untuk hari lusa, dan sementara ini kamu tidak boleh bersetubuh.”

16. Pada hari yang ketiga, pada waktu pagi, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal kelihatan di situ, dan bunyi trompet yang kuat sekali kedengaran. Segenap umat di perkhemahan itu gementar ketakutan.

17. Musa membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung.

18. Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana TUHAN telah turun ke atasnya di dalam api. Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat.

19. Bunyi trompet semakin kuat. Musa berkata-kata dan Allah menjawabnya dengan guruh.

20. TUHAN turun di atas puncak Gunung Sinai, lalu memanggil Musa ke atas gunung itu. Musa mendaki gunung,

21. lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Turunlah dan ingatkan umat supaya tidak melintasi sempadan itu untuk melihat Aku. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan mati.

22. Imam-imam sekalipun yang datang menghampiri Aku mesti menyucikan diri. Jika tidak, Aku akan menghukum mereka.”

Keluaran 19