Keluaran 18:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Yitro, bapa mentua Musa, imam di Midian, mendengar segala yang telah dilakukan Allah bagi Musa dan orang Israel ketika TUHAN membawa mereka keluar dari Mesir.

2. Oleh itu Yitro bersama dengan Zipora datang melawat Musa. Zipora ialah isteri Musa, yang masih tinggal di Midian.

3. Yitro juga membawa Gersom dan Eliezer, dua orang anak lelaki Zipora. (Musa pernah berkata, “Aku seorang asing di tanah yang tidak aku kenali.” Oleh itu dia menamakan seorang daripada anak lelakinya Gersom.

4. Dia juga berkata, “Allah yang disembah bapaku telah menolong dan menyelamatkan aku daripada dibunuh oleh raja Mesir.” Oleh itu dia menamakan anak lelakinya yang seorang lagi Eliezer.)

5. Yitro datang bersama dengan isteri dan anak-anak lelaki Musa ke padang gurun, tempat Musa berkhemah dekat gunung suci.

6. Yitro telah mengirim khabar kepada Musa bahawa mereka sedang datang.

7. Oleh itu Musa keluar untuk menyambutnya. Dia bersujud di hadapan Yitro lalu menciumnya. Mereka saling bertanya tentang kesihatan masing-masing, lalu masuk ke khemah Musa.

8. Musa memberitahu Yitro segala perbuatan TUHAN terhadap raja dan orang Mesir untuk menyelamatkan orang Israel. Dia juga memberitahu Yitro tentang kesusahan yang dihadapi mereka dalam perjalanan dan bagaimana mereka telah diselamatkan oleh TUHAN.

9. Yitro sangat gembira apabila mendengar segala perkara itu.

10. Dia berkata, “Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan kamu daripada raja dan orang Mesir. Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan umat-Nya daripada perhambaan!

11. Sekarang aku tahu bahawa TUHAN lebih agung daripada semua tuhan, kerana Dia melakukan semua itu ketika orang Mesir bertindak dengan sangat angkuh terhadap orang Israel.”

12. Kemudian Yitro membawa persembahan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga korban-korban lain untuk dipersembahkan kepada Allah. Harun dan semua pemimpin orang Israel pergi dengan Yitro untuk makan bersama-sama di hadirat Allah.

Keluaran 18