12. “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.”
13. Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan.
14. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun.
15. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?”Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan.
16. TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.”
17. Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu.
18. Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya.
19. Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga esok.”
20. Tetapi ada di kalangan mereka yang tidak mengendahkan kata-kata Musa, lalu menyimpan sebahagian daripada makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk, lalu Musa marah kepada mereka.
21. Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair.
22. Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa.
23. Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.”
24. Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat.