Keluaran 14:15-25 Alkitab Berita Baik (BM)

15. TUHAN berfirman kepada Musa, “Mengapa engkau berseru meminta tolong? Suruhlah orang Israel berjalan terus.

16. Angkatlah tongkatmu dan hulurkan ke atas laut. Air laut akan terbelah, lalu orang Israel akan dapat berjalan melintasi laut di atas dasarnya yang kering.

17. Aku akan menyebabkan orang Mesir begitu degil sehingga mereka mengejar orang Israel, bahkan ke dalam laut sekali pun. Maka kemenangan-Ku atas raja Mesir, tenteranya, kereta kudanya, dan para pemandu kereta kudanya akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku.

18. Apabila Aku mengalahkan mereka, orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

19. Malaikat Allah yang berada di hadapan tentera Israel berpindah ke belakang. Tiang awan yang berada di hadapan mereka juga berpindah

20. ke antara tentera Mesir dan orang Israel. Awan itu mendatangkan kegelapan bagi orang Mesir tetapi memberikan cahaya kepada orang Israel, sehingga sepanjang malam kedua-dua pasukan itu tidak dapat menghampiri satu sama lain.

21. Musa menghulurkan tangannya ke atas laut, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup dengan kencang sehingga air laut mundur. Angin itu bertiup sepanjang malam dan mengubah laut menjadi tanah yang kering. Air laut terbelah,

22. dan orang Israel melintasi laut di atas tanah yang kering, sedangkan air di sebelah kanan dan kiri merupakan tembok air.

23. Orang Mesir bersama dengan kuda, kereta kuda, dan para pemandu kereta kuda, mengejar orang Israel sampai ke tengah laut.

24. Apabila fajar menyingsing, dari tiang api dan tiang awan, TUHAN melihat tentera Mesir, lalu mengacau-bilaukan mereka.

25. Dia menyebabkan roda-roda kereta kuda mereka tersekat sehingga susah bergerak. Orang Mesir berkata, “TUHAN memihak orang Israel untuk menentang kita. Marilah kita lari dari sini!”

Keluaran 14