9. Musa menjawab, “Kami semua akan pergi, termasuk anak-anak serta orang tua. Anak lelaki dan perempuan, semua domba, kambing, dan lembu akan dibawa kerana kami mesti mengadakan suatu perayaan besar untuk menghormati TUHAN.”
10. Raja bertitah kepada mereka, “Beta bersumpah demi TUHAN bahawa beta tidak akan membenarkan kamu membawa kaum wanita dan anak-anak! Jelaslah bahawa kamu merancang pemberontakan.
11. Tidak! Hanya kaum lelaki boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, jika hal itu yang kamu mahu.” Selepas itu, Musa dan Harun diusir keluar dari istana.
12. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkan tanganmu ke atas tanah Mesir untuk mendatangkan belalang. Belalang akan datang untuk memakan segala tumbuhan yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.”
13. Oleh itu Musa mengangkat tongkatnya, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin itu telah membawa belalang.
14. Belalang datang dalam kawanan-kawanan yang besar sehingga meliputi seluruh negeri. Orang belum pernah melihat belalang sebegitu banyak, dan selepas itu pun hal seperti itu tidak terjadi lagi.
15. Belalang meliputi permukaan tanah sampai tanah kelihatan hitam. Belalang memakan segala sesuatu yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu, termasuk semua buah di pokok. Di seluruh Mesir, tidak ada sesuatu pun yang hijau tertinggal pada pokok ataupun tumbuhan.
16. Raja segera memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Beta telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu dan terhadap kamu.
17. Ampunkanlah dosa beta sekali ini saja, dan berdoalah kepada TUHAN, Allah kamu agar Dia menjauhkan hukuman yang dahsyat ini daripada beta.”
18. Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN.
19. Oleh itu TUHAN mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang sangat kencang. Belalang-belalang ditiup oleh angin itu dan dibawa ke Laut Gelagah, maka tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh tanah Mesir.
20. Tetapi TUHAN menyebabkan raja tetap berdegil, dan raja tidak membenarkan umat Israel pergi.
21. TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, maka kegelapan yang pekat akan meliputi seluruh tanah Mesir.”
22. Musa mengangkat tangannya ke arah langit, lalu kegelapan yang pekat meliputi seluruh tanah Mesir selama tiga hari.
23. Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari rumah sepanjang masa itu. Tetapi tempat tinggal orang Israel tetap terang.
24. Kemudian raja memanggil Musa dan bertitah, “Kamu boleh pergi dan beribadat kepada TUHAN. Isteri dan anak-anak kamu juga boleh pergi bersama dengan kamu, tetapi kamu tidak boleh membawa domba, kambing, dan lembu kamu.”