Keluaran 10:14-23 Alkitab Berita Baik (BM)

14. Belalang datang dalam kawanan-kawanan yang besar sehingga meliputi seluruh negeri. Orang belum pernah melihat belalang sebegitu banyak, dan selepas itu pun hal seperti itu tidak terjadi lagi.

15. Belalang meliputi permukaan tanah sampai tanah kelihatan hitam. Belalang memakan segala sesuatu yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu, termasuk semua buah di pokok. Di seluruh Mesir, tidak ada sesuatu pun yang hijau tertinggal pada pokok ataupun tumbuhan.

16. Raja segera memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Beta telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu dan terhadap kamu.

17. Ampunkanlah dosa beta sekali ini saja, dan berdoalah kepada TUHAN, Allah kamu agar Dia menjauhkan hukuman yang dahsyat ini daripada beta.”

18. Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN.

19. Oleh itu TUHAN mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang sangat kencang. Belalang-belalang ditiup oleh angin itu dan dibawa ke Laut Gelagah, maka tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh tanah Mesir.

20. Tetapi TUHAN menyebabkan raja tetap berdegil, dan raja tidak membenarkan umat Israel pergi.

21. TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, maka kegelapan yang pekat akan meliputi seluruh tanah Mesir.”

22. Musa mengangkat tangannya ke arah langit, lalu kegelapan yang pekat meliputi seluruh tanah Mesir selama tiga hari.

23. Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari rumah sepanjang masa itu. Tetapi tempat tinggal orang Israel tetap terang.

Keluaran 10