22. Ruben berkata, “Dahulu aku melarang kamu menyakiti anak itu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Sekarang kita menerima balasan kerana kematiannya.”
23. Yusuf memahami bahasa mereka tetapi mereka tidak mengetahui hal itu, kerana mereka berkata-kata dengan Yusuf melalui seorang jurubahasa.
24. Yusuf meninggalkan mereka, lalu menangis. Apabila dia dapat berkata-kata lagi, dia kembali kepada mereka lalu memilih Simeon. Yusuf menyuruh orang mengikat Simeon di hadapan semua saudaranya.
25. Yusuf memerintahkan supaya karung-karung yang dibawa saudara-saudaranya diisi dengan gandum, lalu wang masing-masing dimasukkan ke dalam karung-karung itu. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekal makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dilaksanakan.
26. Selepas itu saudara-saudara Yusuf memuati keldai mereka dengan gandum yang sudah dibeli, lalu mereka berangkat.
27. Di tempat mereka bermalam, seorang daripada mereka membuka karung gandumnya untuk memberi keldainya makanan, lalu menjumpai wangnya di atas gandum.
28. “Wang aku dikembalikan,” serunya kepada saudara-saudaranya. “Tengoklah, wang ada di dalam karungku!” Hati mereka berdebar-debar, dan dengan takut mereka saling bertanya, “Apakah yang dilakukan Allah kepada kita?”
29. Apabila mereka sampai di Kanaan, mereka menceritakan segala sesuatu yang dialami mereka, kepada bapa mereka. Mereka berkata,
30. “Gabenor Mesir bercakap kasar kepada kami dan menuduh kami mengintip negerinya.
31. Kami menjawab, ‘Kami orang jujur, bukan pengintip.
32. Kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, tetapi seorang sudah meninggal, dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan.’
33. Gabenor itu berkata, ‘Aku mahu menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu jujur. Seorang daripada kamu harus tinggal, tetapi yang lain boleh pulang dan membawa gandum kepada keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran.