Imamat 8:11-28 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Dia mengambil sebahagian daripada minyak itu lalu memercikkannya tujuh kali di atas mazbah dan peralatannya, dan juga pada besen serta alasnya, untuk mentahbiskan semuanya bagi TUHAN.

12. Musa mentahbiskan Harun dengan menuangkan minyak upacara pada kepala Harun.

13. Kemudian Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan. Musa mengenakan baju labuh dan ikat pinggang pada mereka, lalu mengenakan ikat kepala pada mereka, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN.

14. Setelah itu Musa membawa seekor lembu jantan muda bagi korban untuk mengampunkan dosa, lalu Harun serta anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu.

15. Kemudian Musa menyembelih lembu itu dan mengambil sedikit darahnya. Lalu dengan jari, Musa menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah untuk mentahbiskannya. Dia menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. Dengan cara ini Musa menyucikan mazbah itu dan mentahbiskannya bagi TUHAN.

16. Musa mengambil semua lemak yang ada pada isi perut lembu itu, bahagian terbaik daripada hati lembu, dan buah pinggang serta lemaknya, lalu membakar semuanya di atas mazbah.

17. Dia mengambil sisa lembu itu bersama-sama kulit, daging, dan ususnya, lalu membakar semuanya di luar perkhemahan, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN.

18. Setelah itu Musa membawa seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu Harun serta anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.

19. Musa menyembelih domba jantan itu lalu menyiramkan darahnya pada keempat-empat sisi mazbah.

20-21. Dia memotong domba jantan itu, mencuci isi perut dan paha domba itu dengan air. Kemudian dia membakar kepala, lemak, dan sisa domba jantan itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Korban untuk menyenangkan hati TUHAN ini adalah persembahan makanan, dan baunya menyenangkan hati TUHAN.

22. Setelah itu Musa membawa domba jantan yang seekor lagi untuk pentahbisan imam, lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.

23. Musa menyembelih domba jantan itu. Kemudian dia mengambil sedikit darah domba itu dan menyapukannya pada cuping kanan telinga Harun, dan pada ibu jari tangan kanannya, dan juga pada ibu jari kaki kanannya.

24. Kemudian Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan. Lalu Musa menyapukan sedikit darah domba itu pada cuping kanan telinga mereka, pada ibu jari tangan kanan mereka, dan juga pada ibu jari kaki kanan mereka. Kemudian Musa menyiramkan darah yang selebihnya pada keempat-empat sisi mazbah.

25. Musa mengambil lemak domba itu, dan juga ekornya yang berlemak, lemak yang membungkus isi perutnya, bahagian terbaik daripada hatinya, buah pinggang serta lemaknya, dan paha kanan domba itu.

26. Selepas itu, Musa mengambil seketul roti dari sebakul roti yang tidak beragi, yang sudah ditahbiskan untuk TUHAN, dan juga seketul roti tebal yang dibuat dengan minyak, serta sekeping roti nipis, lalu meletakkan semuanya di atas lemak dan paha kanan domba jantan itu.

27. Dia meletakkan semua makanan itu di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu mereka mempersembahkan semuanya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN.

28. Kemudian Musa mengambil makanan itu daripada mereka dan membakarnya di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagai korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan. Korban ini adalah persembahan makanan, dan baunya menyenangkan hati TUHAN.

Imamat 8