4. buah pinggang dan lemaknya, dan juga bahagian yang terbaik daripada hati binatang itu.
5. Imam harus membakar semua lemak itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan kepada TUHAN; korban ini ialah korban untuk membayar ganti rugi.
6. Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan daging korban ini, tetapi mereka mesti memakannya di tempat yang khas kerana korban ini sangat suci.
7. Peraturan yang sama berlaku bagi korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi: daging binatang itu menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu.
8. Kulit binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu.
9. Tiap-tiap korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, sama ada korban itu dibakar di dalam ketuhar, atau dimasak di dalam kuali, ataupun dimasak di atas pemanggang, menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu.
10. Tetapi semua korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, iaitu korban yang belum dimasak, baik yang sudah dicampuri minyak mahupun yang kering, menjadi milik imam keturunan Harun dan mesti dibahagi sama rata antara mereka.
11. Inilah peraturan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN yang dipersembahkan kepada TUHAN.
12. Jika seseorang mempersembahkannya sebagai korban kesyukuran kepada Allah, dia harus mempersembahkan roti yang tidak beragi bersama-sama binatang yang dipersembahkan itu. Roti itu boleh tebal, yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun, atau roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun, ataupun kuih yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun.
13. Di samping itu, dia harus mempersembahkan roti yang dibuat dengan ragi.
14. Dia harus mempersembahkan sebahagian daripada tiap-tiap jenis roti itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN; semua ini akan menjadi milik imam yang mengambil darah binatang itu, lalu menyiramkannya pada mazbah.
15. Daging binatang itu mesti dimakan pada hari binatang itu dipersembahkan; sedikit pun tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi.
16. Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dengan maksud menunaikan nazarnya atau sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, tidak perlu seluruh korban itu dimakan pada hari korban itu dipersembahkan. Sisa korban itu boleh dimakan pada keesokan harinya.
17. Tetapi jika ada daging yang masih tersisa sehingga hari ketiga, daging itu mesti dibakar semuanya.