Imamat 7:23-37 Alkitab Berita Baik (BM)

23. bagi umat Israel. Lemak lembu, domba, ataupun kambing tidak boleh dimakan.

24. Lemak daripada binatang yang mati biasa ataupun yang diterkam binatang buas, tidak boleh dimakan, tetapi boleh digunakan untuk keperluan lain.

25. Orang yang makan lemak daripada binatang yang boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

26. Di mana sahaja orang Israel tinggal, mereka sekali-kali tidak boleh makan darah burung ataupun darah binatang.

27. Sesiapa yang melanggar peraturan ini tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

28. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa

29. bagi umat Israel. Sesiapa yang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mesti mempersembahkan sebahagian daripada korban itu sebagai korban istimewa kepada TUHAN.

30. Orang itu sendiri harus membawa korban itu sebagai persembahan makanan. Dia harus membawa lemak dan dada binatang itu, lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN.

31. Seorang imam mesti membakar lemak itu di atas mazbah, tetapi dada binatang itu akan menjadi milik para imam.

32. Paha kanan binatang itu harus diberikan sebagai persembahan istimewa

33. kepada imam yang mempersembahkan darah dan lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN.

34. Dada dan paha kanan binatang itu adalah persembahan istimewa yang diambil oleh TUHAN daripada umat-Nya untuk diberikan kepada para imam. Bahagian inilah yang mesti diberikan oleh umat Israel kepada imam selama-lamanya.

35. Inilah bahagian persembahan makanan untuk TUHAN yang diberikan kepada Harun dan anak-anaknya pada hari mereka ditahbiskan menjadi imam.

36. Pada hari itu TUHAN memerintah umat Israel supaya memberikan bahagian ini kepada para imam. Inilah peraturan yang mesti ditaati oleh umat Israel selama-lamanya.

37. Demikianlah peraturan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk membayar ganti rugi, korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN.

Imamat 7