Imamat 7:18-34 Alkitab Berita Baik (BM)

18. Jika sedikit pun daripada sisa daging itu dimakan pada hari ketiga, korban itu tidak akan diterima oleh Allah. Korban itu tidak menjadi berkat bagi orang itu, malah menjadi haram. Sesiapa sahaja yang makan sisa daging itu akan bersalah dan harus menanggung akibatnya.

19. Daging yang terkena apa sahaja yang najis tidak boleh dimakan, tetapi mesti dibakar semuanya.Orang yang tidak najis boleh makan daging daripada korban itu.

20. Jika seseorang makan daging itu pada masa dia najis, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

21. Apabila seseorang telah menyentuh sesuatu yang najis, lalu orang itu makan daging binatang yang sudah dipersembahkan itu, orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

22. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa

23. bagi umat Israel. Lemak lembu, domba, ataupun kambing tidak boleh dimakan.

24. Lemak daripada binatang yang mati biasa ataupun yang diterkam binatang buas, tidak boleh dimakan, tetapi boleh digunakan untuk keperluan lain.

25. Orang yang makan lemak daripada binatang yang boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

26. Di mana sahaja orang Israel tinggal, mereka sekali-kali tidak boleh makan darah burung ataupun darah binatang.

27. Sesiapa yang melanggar peraturan ini tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.

28. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa

29. bagi umat Israel. Sesiapa yang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mesti mempersembahkan sebahagian daripada korban itu sebagai korban istimewa kepada TUHAN.

30. Orang itu sendiri harus membawa korban itu sebagai persembahan makanan. Dia harus membawa lemak dan dada binatang itu, lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN.

31. Seorang imam mesti membakar lemak itu di atas mazbah, tetapi dada binatang itu akan menjadi milik para imam.

32. Paha kanan binatang itu harus diberikan sebagai persembahan istimewa

33. kepada imam yang mempersembahkan darah dan lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN.

34. Dada dan paha kanan binatang itu adalah persembahan istimewa yang diambil oleh TUHAN daripada umat-Nya untuk diberikan kepada para imam. Bahagian inilah yang mesti diberikan oleh umat Israel kepada imam selama-lamanya.

Imamat 7