2-3. Jika seseorang berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mahu mengembalikan barang-barang yang dititipkan kepadanya oleh sesama orang Israel, atau kerana menipu orang, ataupun mencuri barang milik orang itu, atau kerana bersumpah tidak menjumpai sesuatu barang yang hilang, orang itu harus mempersembahkan korban kepada TUHAN.
19. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa
20. bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang.
21. Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.
22. Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN.
23. Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar.
24. TUHAN memerintah Musa
25. untuk memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk mengampunkan dosa. Binatang bagi korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban ini sangat suci.
26. Imam yang mempersembahkan binatang itu harus memakannya di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN.
27. Seseorang atau apa pun yang terkena daging binatang itu akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. Pakaian yang kena percikan darah binatang itu harus dibasuh di tempat yang khas.
28. Periuk tanah yang digunakan untuk merebus daging itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu dibuat daripada logam, periuk itu harus digosok dan dibilas dengan air.
29. Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan korban ini; korban ini sangat suci.