2-3. Jika seseorang berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mahu mengembalikan barang-barang yang dititipkan kepadanya oleh sesama orang Israel, atau kerana menipu orang, ataupun mencuri barang milik orang itu, atau kerana bersumpah tidak menjumpai sesuatu barang yang hilang, orang itu harus mempersembahkan korban kepada TUHAN.
12. Api di atas mazbah harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Tiap-tiap pagi imam harus meletakkan kayu api di atas mazbah, menyusun korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, dan membakar lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN.
13. Api di atas mazbah itu harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam.
14. Inilah peraturan tentang korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Seorang imam keturunan Harun harus mempersembahkan korban itu di hadapan mazbah.
15. Imam itu harus mengambil segenggam tepung bersama dengan minyak, serta semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa seluruhnya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.
16-17. Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi.
18. Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya.
19. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa
20. bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang.
21. Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.
22. Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN.
23. Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar.
24. TUHAN memerintah Musa
25. untuk memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk mengampunkan dosa. Binatang bagi korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban ini sangat suci.
26. Imam yang mempersembahkan binatang itu harus memakannya di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN.
27. Seseorang atau apa pun yang terkena daging binatang itu akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. Pakaian yang kena percikan darah binatang itu harus dibasuh di tempat yang khas.
28. Periuk tanah yang digunakan untuk merebus daging itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu dibuat daripada logam, periuk itu harus digosok dan dibilas dengan air.
29. Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan korban ini; korban ini sangat suci.