10. Orang yang bernazar itu tidak boleh menukarnya dengan binatang lain. Jika dia berbuat begitu, kedua-dua ekor binatang itu menjadi milik TUHAN.
11. Tetapi jika nazar itu tentang binatang haram yang tidak dapat diterima sebagai korban kepada TUHAN, orang yang bernazar itu harus membawa binatang itu kepada imam.
12. Imam akan menentukan harganya menurut keadaan binatang itu, dan itulah harga mati.
13. Jika orang itu hendak menebus binatangnya, dia mesti membayar harga itu ditambah dengan dua puluh peratus.
14. Apabila seseorang mempersembahkan rumahnya kepada TUHAN, imam akan menentukan harganya menurut keadaan rumah itu, dan itulah harga mati.
15. Jika orang itu hendak menebus rumahnya, dia mesti membayar harga itu ditambah dengan dua puluh peratus.
16. Apabila seseorang mempersembahkan sebahagian daripada tanahnya kepada TUHAN, harganya ditentukan menurut jumlah benih yang dapat ditanam di tanah itu; untuk setiap 20 kilogram barli, harganya sepuluh keping wang perak.
17. Jika orang itu mempersembahkan tanahnya sebaik sahaja Tahun Pengembalian berakhir, harganya mesti dibayar penuh.
18. Tetapi jika tanah itu dipersembahkan selepas Tahun Pengembalian, harganya harus ditentukan oleh imam menurut bilangan tahun yang masih tinggal sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang; harganya pun menjadi lebih murah.
19. Jika orang yang mempersembahkan tanah itu hendak menebusnya, dia mesti membayar harga itu ditambah dengan dua puluh peratus.
20. Jika dia menjual tanah itu kepada orang lain sebelum dia menebusnya daripada TUHAN, dia kehilangan hak untuk menebus tanah itu.
21. Pada Tahun Pengembalian yang akan datang, tanah itu menjadi milik TUHAN selama-lamanya, dan tanah itu diberikan kepada para imam.
22. Jika seseorang mempersembahkan tanah yang dibelinya kepada TUHAN,
23. imam akan menentukan harganya menurut tahun yang masih tinggal sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Orang itu mesti membayar harganya pada hari itu juga, dan wang itu menjadi milik TUHAN.
24. Pada Tahun Pengembalian, tanah itu mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya atau kepada keturunannya.
25. Semua harga mesti ditentukan menurut harga yang ditetapkan di Khemah TUHAN.
26. Anak sulung binatang sudah sememangnya milik TUHAN, dan tidak boleh dipersembahkan sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela. Anak lembu, anak domba, atau anak kambing yang sulung menjadi milik TUHAN.
27. Tetapi anak sulung binatang haram boleh ditebus menurut harga yang ditentukan di Khemah TUHAN, ditambah dengan dua puluh peratus. Jika tidak ditebus, binatang itu boleh dijual kepada orang lain menurut harga yang ditentukan di Khemah TUHAN.
28. Tiada seorang pun boleh menjual ataupun menebus apa yang sudah dikhaskannya tanpa syarat untuk TUHAN, sama ada manusia, binatang, ataupun tanah. Semua itu menjadi milik TUHAN selama-lamanya.