4. Aku akan menurunkan hujan pada waktunya supaya tanah kamu dapat mengeluarkan hasil, dan pokok-pokok akan berbuah.
5. Hasil tanaman kamu akan sedemikian banyak sehingga kamu masih menuai gandum apabila tiba masanya memetik buah anggur, dan kamu masih memetik buah anggur apabila tiba masanya menanam gandum. Kamu akan mendapat makanan yang cukup, dan hidup tenteram di negeri kamu.
6. Aku akan mendatangkan keamanan di negeri kamu sehingga kamu dapat tidur tanpa berasa takut terhadap sesiapa pun. Aku akan melenyapkan binatang buas di negeri itu, dan peperangan pun tidak akan ada lagi.
7. Kamu akan mengalahkan musuh kamu;
8. dengan lima orang, kamu akan mengalahkan seratus orang musuh, dan dengan seratus orang kamu akan mengalahkan sepuluh ribu orang musuh.
9. Aku akan memberkati kamu dan memberi kamu anak yang banyak. Aku akan menepati perjanjian yang Aku buat dengan kamu.
34-35. Pada masa itu, sementara kamu berada dalam pembuangan di negeri musuh kamu, tanah yang tidak kamu biarkan berehat semasa kamu mendiaminya, akan terlantar dan mendapat kesempatan berehat.
36. Aku akan menyebabkan kamu yang dibuang di negeri orang begitu takut, sehingga bunyi daun yang ditiup angin pun menyebabkan kamu lari. Kamu akan lari seolah-olah dikejar oleh musuh dalam pertempuran, dan kamu akan jatuh walaupun tidak ada musuh dekat kamu.
37. Kamu akan tersandung satu sama lain walaupun tiada sesiapa yang mengejar kamu. Kamu tidak akan dapat melawan musuh.
38. Kamu akan mati dalam pembuangan, dan dikubur di negeri musuh.
39. Sebahagian kecil daripada kamu yang masih hidup di negeri musuh akan merana kerana dosa kamu sendiri dan dosa nenek moyang kamu.
40. Tetapi keturunan kamu akan mengakui dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka yang melawan Aku dan memberontak terhadap Aku,
41. sehingga menyebabkan Aku menentang mereka dan membuang mereka di negeri musuh. Akhirnya, apabila keturunan kamu merendahkan diri, dan telah menjalani hukuman kerana dosa dan pemberontakan mereka,
42. Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan Yakub, Ishak, dan Abraham. Aku akan membaharui janji-Ku untuk memberikan negeri itu kepada umat-Ku.
43. Tetapi terlebih dahulu, negeri itu mesti dikosongkan daripada penduduknya supaya sungguh-sungguh dapat berehat. Umat-Ku mesti menjalani semua hukuman, kerana tidak mahu mematuhi hukum dan perintah-Ku.
44. Walaupun demikian, semasa mereka di negeri musuh, Aku tidak akan meninggalkan ataupun membinasakan mereka sama sekali. Jika Aku berbuat begitu, tindakan itu akan membatalkan perjanjian-Ku dengan mereka, sedangkan Aku ini TUHAN, Allah mereka.
45. Aku akan membaharui perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir untuk menunjukkan kuasa-Ku kepada semua bangsa, dan supaya Aku, TUHAN, boleh menjadi Allah mereka.”
46. Itulah semua hukum dan perintah yang diberikan oleh TUHAN kepada Musa di atas Gunung Sinai untuk umat Israel.