33. Aku akan mendatangkan peperangan di negeri kamu, lalu kamu akan tercerai-cerai di negeri orang. Kota-kota kamu akan hancur dan negeri kamu akan terlantar.
34-35. Pada masa itu, sementara kamu berada dalam pembuangan di negeri musuh kamu, tanah yang tidak kamu biarkan berehat semasa kamu mendiaminya, akan terlantar dan mendapat kesempatan berehat.
36. Aku akan menyebabkan kamu yang dibuang di negeri orang begitu takut, sehingga bunyi daun yang ditiup angin pun menyebabkan kamu lari. Kamu akan lari seolah-olah dikejar oleh musuh dalam pertempuran, dan kamu akan jatuh walaupun tidak ada musuh dekat kamu.
37. Kamu akan tersandung satu sama lain walaupun tiada sesiapa yang mengejar kamu. Kamu tidak akan dapat melawan musuh.
38. Kamu akan mati dalam pembuangan, dan dikubur di negeri musuh.
39. Sebahagian kecil daripada kamu yang masih hidup di negeri musuh akan merana kerana dosa kamu sendiri dan dosa nenek moyang kamu.
40. Tetapi keturunan kamu akan mengakui dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka yang melawan Aku dan memberontak terhadap Aku,
41. sehingga menyebabkan Aku menentang mereka dan membuang mereka di negeri musuh. Akhirnya, apabila keturunan kamu merendahkan diri, dan telah menjalani hukuman kerana dosa dan pemberontakan mereka,
42. Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan Yakub, Ishak, dan Abraham. Aku akan membaharui janji-Ku untuk memberikan negeri itu kepada umat-Ku.
43. Tetapi terlebih dahulu, negeri itu mesti dikosongkan daripada penduduknya supaya sungguh-sungguh dapat berehat. Umat-Ku mesti menjalani semua hukuman, kerana tidak mahu mematuhi hukum dan perintah-Ku.
44. Walaupun demikian, semasa mereka di negeri musuh, Aku tidak akan meninggalkan ataupun membinasakan mereka sama sekali. Jika Aku berbuat begitu, tindakan itu akan membatalkan perjanjian-Ku dengan mereka, sedangkan Aku ini TUHAN, Allah mereka.
45. Aku akan membaharui perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir untuk menunjukkan kuasa-Ku kepada semua bangsa, dan supaya Aku, TUHAN, boleh menjadi Allah mereka.”
46. Itulah semua hukum dan perintah yang diberikan oleh TUHAN kepada Musa di atas Gunung Sinai untuk umat Israel.