17. Aku akan menentang kamu sehingga kamu dikalahkan musuh. Orang yang membenci kamu akan menjajah kamu, dan kamu akan menjadi begitu takut sehingga kamu akan lari walaupun tidak ada orang yang mengejar kamu.
18. Jika setelah mengalami segala hukuman itu kamu masih tidak taat kepada-Ku, Aku akan menambah hukuman itu tujuh kali ganda.
19. Aku akan mematahkan kekuasaan yang kamu banggakan. Hujan tidak akan turun sehingga tanah kamu menjadi kering dan keras seperti besi.
20. Semua usaha kamu sia-sia sahaja, kerana tanah tidak akan mengeluarkan hasil dan pokok-pokok tidak akan berbuah.
21. Jika kamu masih juga melawan Aku dan tidak mahu taat kepada-Ku, Aku akan menambah hukuman itu tujuh kali ganda lagi.
22. Aku akan mengirim binatang buas ke tengah-tengah kamu. Binatang-binatang itu akan membunuh anak-anak kamu dan memusnahkan ternakan kamu, sehingga kamu tinggal sedikit sahaja, dan jalan-jalan kamu menjadi lengang.
23. Jika segala hukuman itu sudah berlaku, tetapi kamu masih tidak mahu mendengarkan Aku melainkan terus juga menentang Aku,
24. maka Aku akan melawan kamu dan menghukum kamu tujuh kali lebih dahsyat daripada yang sudah-sudah.
25. Aku akan mendatangkan peperangan di negeri kamu untuk menghukum kamu, kerana kamu memungkiri perjanjian-Ku dengan kamu. Apabila kamu berkumpul di dalam kota untuk mencari perlindungan, Aku akan mendatangkan penyakit yang membawa maut sehingga kamu terpaksa menyerah kepada musuh.
26. Aku tidak akan memberi kamu makanan sehingga sepuluh orang perempuan hanya memerlukan satu ketuhar roti untuk membakar semua roti yang ada. Roti itu akan dicatu, dan sesudah kamu memakannya kamu masih lapar.
27. Jika setelah segalanya ini berlaku, dan kamu masih tetap menentang Aku dan tidak mahu taat kepada-Ku,
28. maka dengan murka Aku akan melawan kamu dan menghukum kamu tujuh kali lebih dahsyat daripada yang sudah-sudah.
29. Kamu akan menjadi begitu lapar sehingga kamu makan anak-anak kamu sendiri.
30. Aku akan memusnahkan tempat-tempat pemujaan kamu di bukit-bukit, merobohkan mazbah-mazbah tempat kamu membakar kemenyan, dan melemparkan mayat kamu ke atas berhala yang sudah roboh itu. Kerana jijik,
31. Aku akan memusnahkan kota-kota kamu dan juga tempat-tempat pemujaan kamu. Aku tidak akan menerima korban daripada kamu.
32. Negeri kamu akan Kumusnahkan sama sekali, sehingga musuh yang menduduki negeri kamu akan terperanjat melihat betapa dahsyatnya kemusnahan itu.