Imamat 26:10-25 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Hasil tanaman kamu akan sedemikian banyak sehingga cukup untuk satu tahun. Bahkan kamu terpaksa mengeluarkan sisa tuaian yang lama supaya ada tempat untuk menyimpan tuaian yang baru.

11. Aku akan tinggal di kalangan kamu dalam Khemah-Ku, dan Aku sekali-kali tidak akan menolak kamu.

12. Aku akan menyertai kamu; Aku akan menjadi Allah kamu dan kamu menjadi umat-Ku.

13. Aku TUHAN, Allah kamu, membawa kamu keluar dari Mesir supaya kamu tidak lagi menjadi abdi. Aku sudah mematahkan kekuasaan yang menindas kamu, dan menjadikan kamu orang yang merdeka.”

14. TUHAN berfirman, “Jika kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku, kamu akan dihukum.

15. Jika kamu tidak mahu patuh kepada hukum dan perintah-Ku, serta tidak menepati perjanjian yang Aku buat dengan kamu,

16. Aku akan menghukum kamu. Aku akan mendatangkan bencana kepada kamu – penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan demam, sehingga kamu buta dan hidup merana. Kamu akan bercucuk tanam tetapi sia-sia sahaja, kerana musuh kamu akan mengalahkan kamu dan memakan hasil tanaman kamu.

17. Aku akan menentang kamu sehingga kamu dikalahkan musuh. Orang yang membenci kamu akan menjajah kamu, dan kamu akan menjadi begitu takut sehingga kamu akan lari walaupun tidak ada orang yang mengejar kamu.

18. Jika setelah mengalami segala hukuman itu kamu masih tidak taat kepada-Ku, Aku akan menambah hukuman itu tujuh kali ganda.

19. Aku akan mematahkan kekuasaan yang kamu banggakan. Hujan tidak akan turun sehingga tanah kamu menjadi kering dan keras seperti besi.

20. Semua usaha kamu sia-sia sahaja, kerana tanah tidak akan mengeluarkan hasil dan pokok-pokok tidak akan berbuah.

21. Jika kamu masih juga melawan Aku dan tidak mahu taat kepada-Ku, Aku akan menambah hukuman itu tujuh kali ganda lagi.

22. Aku akan mengirim binatang buas ke tengah-tengah kamu. Binatang-binatang itu akan membunuh anak-anak kamu dan memusnahkan ternakan kamu, sehingga kamu tinggal sedikit sahaja, dan jalan-jalan kamu menjadi lengang.

23. Jika segala hukuman itu sudah berlaku, tetapi kamu masih tidak mahu mendengarkan Aku melainkan terus juga menentang Aku,

24. maka Aku akan melawan kamu dan menghukum kamu tujuh kali lebih dahsyat daripada yang sudah-sudah.

25. Aku akan mendatangkan peperangan di negeri kamu untuk menghukum kamu, kerana kamu memungkiri perjanjian-Ku dengan kamu. Apabila kamu berkumpul di dalam kota untuk mencari perlindungan, Aku akan mendatangkan penyakit yang membawa maut sehingga kamu terpaksa menyerah kepada musuh.

Imamat 26