29. Apabila seseorang menjual sebuah rumah di dalam kota yang bertembok, dia berhak menebus rumahnya dalam jangka masa satu tahun, bermula dari tarikh penjualan rumah itu.
30. Tetapi jika dia tidak menebusnya dalam jangka masa satu tahun, dia kehilangan haknya untuk menebus rumah itu. Rumah itu akan menjadi milik tetap orang yang membelinya, dan keturunan orang itu. Pada Tahun Pengembalian, rumah itu tidak akan dikembalikan kepada pemilik asal.
31. Tetapi peraturan untuk rumah di pekan yang tidak bertembok, sama dengan peraturan untuk tanah. Pemilik asal berhak menebusnya, dan rumah itu harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian.
32. Namun peraturan bagi orang Lewi berbeza. Pada bila-bila sahaja, mereka berhak menebus harta mereka di kota yang ditetapkan bagi mereka.
33. Rumah di dalam salah satu kota itu, yang sudah dijual oleh seorang Lewi dan yang tidak ditebusnya, harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian. Hal itu demikian kerana rumah yang dimiliki orang Lewi di kota-kota itu milik tetap mereka di kalangan orang Israel.
34. Tetapi padang rumput di sekitar kota-kota orang Lewi tidak boleh dijual. Padang rumput itu kepunyaan mereka selama-lamanya.
35. Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, kamu harus membantu dia sebagaimana kamu membantu orang asing atau pendatang, supaya dia dapat terus tinggal di kalangan kamu.
36. Jangan tuntut faedah atas pinjamannya, tetapi taatlah kepada Allah dan biarlah sesama orang Israel tinggal di kalangan kamu.
37. Jangan tuntut faedah atas wang yang kamu pinjamkan kepadanya, dan jangan ambil keuntungan daripada makanan yang kamu jual kepadanya.
38. Inilah perintah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir untuk memberikan negeri Kanaan kepada kamu, supaya Dia menjadi Allah kamu.
39. Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin lalu menjual dirinya kepada kamu sebagai abdi, jangan suruh dia melakukan pekerjaan abdi.
40. Biarlah dia tinggal bersama-sama kamu sebagai orang gaji dan bekerja untuk kamu sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang.
41. Pada tahun itu, dia dan anak-anaknya boleh meninggalkan kamu lalu pulang kepada keluarganya sendiri dan ke tanah milik nenek moyangnya.