17. Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu.
18. Patuhilah semua hukum dan perintah TUHAN supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu.
19. Tanah negeri itu akan mengeluarkan hasil sehingga kamu mempunyai makanan yang cukup dan tinggal di sana dengan tenteram.
20. Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Makanan apakah yang akan ada pada tahun ketujuh itu, kerana tanah tidak akan ditanami dan hasilnya tidak dipungut?”
21. TUHAN akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu menghasilkan makanan yang cukup untuk tiga tahun.
22. Pada masa kamu menanami ladang pada tahun kelapan, kamu masih makan hasil tanaman pada tahun keenam. Kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga sampai masanya kamu mengumpulkan hasil tanaman pada tahun itu.
23. Tanah kamu tidak boleh dijual untuk selamanya kerana tanah itu bukan milik kamu. Tanah itu milik Allah, dan kamu seperti orang asing yang mendapat kebenaran untuk mengusahakan tanah itu.
24. Apabila sebidang tanah dijual, hak pemilik asal tanah itu untuk menebusnya harus diakui.
25. Jika seorang Israel jatuh miskin lalu terpaksa menjual tanahnya, sanak saudaranya yang terdekat wajib menebus tanah itu.
26. Seseorang yang tidak mempunyai sanak untuk menebus tanahnya, mungkin pada kemudian hari menjadi kaya dan sanggup menebusnya sendiri.
27. Jika demikian halnya, dia harus membayar pembeli tanah itu, jumlah harga yang sesuai dengan hasil yang akan diperoleh sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang. Dengan demikian dia akan mendapat kembali tanahnya.
28. Tetapi jika dia tidak sanggup menebusnya, tanah itu tetap menjadi hak pembeli sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Pada tahun itu, tanah itu harus dikembalikan kepada pemilik asalnya.
29. Apabila seseorang menjual sebuah rumah di dalam kota yang bertembok, dia berhak menebus rumahnya dalam jangka masa satu tahun, bermula dari tarikh penjualan rumah itu.
30. Tetapi jika dia tidak menebusnya dalam jangka masa satu tahun, dia kehilangan haknya untuk menebus rumah itu. Rumah itu akan menjadi milik tetap orang yang membelinya, dan keturunan orang itu. Pada Tahun Pengembalian, rumah itu tidak akan dikembalikan kepada pemilik asal.
31. Tetapi peraturan untuk rumah di pekan yang tidak bertembok, sama dengan peraturan untuk tanah. Pemilik asal berhak menebusnya, dan rumah itu harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian.