14. Oleh sebab itu apabila kamu menjual tanah kepada sesama orang Israel, atau membeli tanah daripada mereka, jangan lakukan jual beli itu dengan tidak jujur.
15. Harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun tanah itu dapat mengeluarkan hasil sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang.
16. Jika masih lama lagi, harga tanah itu lebih mahal, tetapi jika masih tinggal beberapa tahun sahaja, harganya mesti lebih murah kerana yang dijual itu adalah jumlah hasil tanah itu.
17. Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu.
18. Patuhilah semua hukum dan perintah TUHAN supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu.
19. Tanah negeri itu akan mengeluarkan hasil sehingga kamu mempunyai makanan yang cukup dan tinggal di sana dengan tenteram.
20. Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Makanan apakah yang akan ada pada tahun ketujuh itu, kerana tanah tidak akan ditanami dan hasilnya tidak dipungut?”
21. TUHAN akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu menghasilkan makanan yang cukup untuk tiga tahun.
22. Pada masa kamu menanami ladang pada tahun kelapan, kamu masih makan hasil tanaman pada tahun keenam. Kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga sampai masanya kamu mengumpulkan hasil tanaman pada tahun itu.
23. Tanah kamu tidak boleh dijual untuk selamanya kerana tanah itu bukan milik kamu. Tanah itu milik Allah, dan kamu seperti orang asing yang mendapat kebenaran untuk mengusahakan tanah itu.
24. Apabila sebidang tanah dijual, hak pemilik asal tanah itu untuk menebusnya harus diakui.
25. Jika seorang Israel jatuh miskin lalu terpaksa menjual tanahnya, sanak saudaranya yang terdekat wajib menebus tanah itu.