Imamat 24:10-11-18 Alkitab Berita Baik (BM)

2. supaya menyampaikan perintah berikut kepada umat Israel: Bawalah minyak zaitun tulen yang terbaik bagi pelita di dalam Khemah TUHAN, supaya pelita dapat dipasang dan menyala terus-menerus.

3. Tiap-tiap malam Harun harus memasang pelita itu dan membiarkannya menyala sehingga pagi. Pelita itu harus diletakkan di hadirat TUHAN, di luar tirai yang di hadapan Tabut Perjanjian di Bilik Maha Suci. Perintah ini mesti dipatuhi selama-lamanya.

4. Harun mesti mengurus pelita-pelita yang diletakkan di atas kaki pelita yang dibuat daripada emas tulen, supaya semuanya selalu menyala di hadirat TUHAN.

5. Ambillah dua puluh empat kilogram tepung yang terbaik dan buatlah dua belas buku roti; satu buku roti dibuat daripada dua kilogram tepung terbaik.

6. Letakkan roti-roti itu dalam dua baris, enam buku roti pada setiap baris, di atas meja yang disaluti emas tulen, yang terletak di dalam Khemah TUHAN.

7. Bubuhlah kemenyan tulen di atas tiap-tiap baris roti. Hal ini menandakan bahawa roti itu persembahan makanan untuk TUHAN.

8. Untuk selama-lamanya, pada setiap hari Sabat, roti itu mesti diletakkan di dalam Khemah TUHAN. Inilah kewajipan umat Israel selama-lamanya.

9. Roti itu untuk Harun dan keturunannya. Mereka mesti makan roti itu di tempat yang suci, kerana roti itu bahagian yang sangat suci daripada persembahan makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN untuk para imam.

10-11. Di perkhemahan orang Israel, ada seorang lelaki. Bapanya orang Mesir dan ibunya orang Israel yang bernama Selomit anak Dibri daripada suku Dan. Pada suatu hari orang itu berkelahi dengan seorang Israel di perkhemahan. Semasa mereka bertengkar, dia mengutuk Allah. Oleh itu orang Israel membawa dia menghadap Musa,

12. dan menahan dia sementara menanti keputusan TUHAN tentang apa yang harus dilakukan terhadap orang itu.

13. TUHAN berfirman kepada Musa,

14. “Bawalah orang itu ke luar perkhemahan. Biarlah tiap-tiap orang yang mendengar dia mengutuk Allah, meletakkan tangan di atas kepala orang itu untuk memberikan kesaksian bahawa dia bersalah. Kemudian semua orang Israel harus merejam dia sampai mati.

15. Selepas itu beritahulah umat Israel bahawa sesiapa yang mengutuk Allah mesti menanggung akibatnya.

16. Orang itu mesti dihukum mati. Sesiapa sahaja yang mengutuk TUHAN, baik orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di negeri Israel, mesti direjam sampai mati oleh semua orang Israel.

17. Sesiapa yang membunuh orang mesti dihukum mati,

18. dan sesiapa yang membunuh binatang orang lain mesti mengganti binatang orang itu. Dasarnya adalah nyawa ganti nyawa.

Imamat 24