Imamat 22:2-18 Alkitab Berita Baik (BM)

2. untuk menyampaikan perintah ini kepada Harun dan anak-anaknya, “Perlakukanlah dengan hormat korban-korban yang dipersembahkan oleh umat Israel khas untuk Aku, supaya kamu tidak menghina nama-Ku yang suci. Akulah TUHAN.

3. Sesiapa sahaja daripada keturunan kamu, yang dalam keadaan najis, mendekati korban-korban yang dipersembahkan oleh umat Israel khas untuk Aku, dia tidak boleh bertugas di mazbah lagi. Peraturan ini berlaku selama-lamanya. Akulah TUHAN.

4. Sesiapa sahaja daripada keturunan Harun yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, atau yang menghidap penyakit kelamin sehingga mengeluarkan lelehan, dia tidak boleh makan apa pun daripada korban yang dikhaskan itu, sebelum dia diumumkan tahir. Seseorang imam menjadi najis jika dia menyentuh sesuatu yang menjadi najis kerana terkena mayat, atau imam itu mengeluarkan mani,

5. atau dia menyentuh binatang yang najis atau orang yang najis.

6. Imam yang menjadi najis dengan cara apa pun, tetap najis sehingga matahari terbenam. Dia tidak boleh makan korban yang dikhaskan itu sebelum dia mandi.

7. Selepas matahari terbenam barulah dia tahir, dan dia boleh makan korban yang dikhaskan kerana itulah makanannya.

8. Dia tidak boleh makan daging binatang jenis apa pun yang mati biasa, atau yang diterkam binatang buas. Perbuatan itu akan menajiskan dia. Akulah TUHAN.

9. Semua imam harus patuh kepada peraturan-peraturan yang telah Aku berikan itu. Jika tidak, mereka bersalah dan akan mati kerana melanggar peraturan-peraturan yang suci itu. Akulah TUHAN dan Aku menyucikan mereka.

10. Cuma orang daripada keluarga imam yang boleh makan daripada korban yang dikhaskan. Orang lain tidak boleh memakannya, walaupun orang itu tinggal bersama-sama imam, ataupun orang itu orang gaji imam.

11. Tetapi abdi yang dibeli dengan wang imam sendiri, atau yang lahir di dalam rumah imam, boleh makan makanan yang diterima oleh imam.

12. Anak perempuan imam yang berkahwin dengan seorang yang bukan imam, tidak boleh makan korban yang dikhaskan.

13. Tetapi anak perempuan imam yang telah menjadi balu, atau yang diceraikan dan tidak mempunyai anak, lalu kembali tinggal dengan bapanya dan menjadi tanggungan bapanya, boleh makan makanan yang diterima oleh bapanya sebagai imam. Cuma anggota keluarga imam boleh makan korban itu.

14. Jika seorang yang bukan anggota keluarga imam, dengan tidak sengaja makan korban yang dikhaskan, dia mesti memberikan ganti yang sama banyaknya kepada imam, ditambah pula dengan dua puluh peratus.

15. Imam tidak boleh menajiskan korban yang dikhaskan,

16. dengan memberikannya kepada orang yang tidak layak memakannya. Hal ini akan mendatangkan kesalahan dan hukuman kepada orang yang memakannya. Akulah TUHAN dan Aku sudah menyucikan korban itu.”

17. TUHAN memerintah Musa

18. supaya memberikan peraturan berikut kepada Harun dan anak-anaknya, serta segenap umat Israel. Apabila seorang Israel ataupun seorang bangsa asing yang tinggal di negeri Israel mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sama ada bagi menunaikan nazar atau pun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, binatang itu tidak boleh ada kecacatan.

Imamat 22