19. Binatang itu harus binatang jantan yang tidak ada kecacatan, supaya dapat diterima.
20. Jika kamu mempersembahkan binatang yang ada kecacatan, TUHAN tidak akan menerimanya.
21. Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, sama ada bagi menunaikan nazar atau pun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, binatang itu tidak boleh ada kecacatan, supaya dapat diterima.
22. Jangan persembahkan binatang seperti ini kepada TUHAN: binatang yang buta, yang patah tulang, yang luka, yang lukanya bernanah, yang berbisul, ataupun yang berkurap. Jangan persembahkan binatang seperti ini sebagai persembahan makanan di atas mazbah.
23. Kamu boleh mempersembahkan binatang yang tidak sempurna bentuknya sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, tetapi korban ini tidak akan diterima sebagai korban untuk menunaikan nazar.
24. Jangan persembahkan binatang seperti ini kepada TUHAN: binatang yang buah pelirnya terjepit, atau dikerat, atau luka, ataupun dibuang. Perbuatan ini tidak dibenarkan di negeri kamu.
25. Jangan persembahkan binatang apa pun sebagai persembahan makanan, jika binatang itu diperoleh daripada orang asing. Binatang itu dianggap cacat dan tidak dapat diterima.
26-27. Seekor anak lembu, atau anak domba, atau anak kambing yang baru lahir, tidak boleh dipisahkan daripada induknya selama tujuh hari. Selepas itu barulah binatang itu boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan.
28. Induk lembu dan anaknya, atau induk domba dan anaknya, ataupun induk kambing dan anaknya, tidak boleh dipersembahkan sebagai korban pada hari yang sama.
29. Apabila kamu mempersembahkan korban kesyukuran kepada TUHAN, ikutilah peraturannya supaya korban kamu itu diterima.
30. Makanlah semua korban itu pada hari itu juga, dan jangan tinggalkan apa-apa sehingga esok pagi.
31. TUHAN berfirman, “Taatilah perintah-perintah-Ku; Akulah TUHAN.
32. Jangan hina nama-Ku yang suci. Segenap umat Israel mesti menyembah Aku sebagai Yang Maha Suci. Akulah TUHAN dan Aku menyucikan kamu.