12. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan menantu perempuannya, mereka berdua mesti dihukum mati. Mereka sudah melakukan perbuatan keji, dan mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.
13. Jika seorang lelaki bersemburit dengan seorang lelaki lain, mereka melakukan perbuatan yang hina dan menjijikkan. Mereka berdua mesti dihukum mati; mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.
14. Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan dan dengan ibu perempuan itu juga, ketiga-tiga mereka mesti dibakar sampai mati, kerana perbuatan mereka itu keji. Perbuatan seperti itu tidak dibenarkan berlaku di kalangan kamu.
15. Jika seorang lelaki melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, dia dan binatang itu mesti dihukum mati.
16. Jika seorang perempuan cuba melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, perempuan itu dan binatang itu mesti dihukum mati. Kedua-duanya mati kerana kesalahan sendiri.
17. Jika seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuannya, sama ada perempuan itu saudara seibu sebapa mahupun saudara tiri yang sebapa lain ibu atau seibu lain bapa, kedua-dua orang itu harus dipermalukan di hadapan umum dan tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Israel. Lelaki itu sudah bersetubuh dengan saudara perempuannya dan mesti menanggung akibatnya.
18. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan seorang perempuan yang sedang haid, kedua-duanya tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.
19. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan mak ciknya, mereka berdua mesti menanggung akibatnya; perbuatan itu keji.
20. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan isteri pak ciknya, dia menghina pak ciknya. Lelaki dan perempuan itu mesti menanggung hukuman mereka sendiri; mereka berdua tidak akan mendapat anak.
21. Jika seorang lelaki merampas isteri abangnya, mereka berdua akan mati tanpa mendapat anak. Lelaki itu sudah melakukan perbuatan yang keji, dan dia menghina abangnya.”
22. TUHAN berfirman, “Patuhilah segala hukum dan perintah-Ku, supaya kamu tidak diusir dari negeri Kanaan, tempat Aku membawa kamu sekarang ini.
23. Jangan ikut kebiasaan bangsa yang tinggal di situ. Aku mengusir mereka supaya kamu boleh masuk ke negeri itu. Mereka menjijikkan Aku dengan perbuatan mereka yang keji.
24. Tetapi Aku sudah berjanji akan memberikan negeri yang kaya dan subur itu kepada kamu. Negeri itu akan menjadi milik kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu yang sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain.
25. Oleh itu, kamu mesti tahu membezakan binatang dan burung yang halal dengan binatang dan burung yang haram. Jangan makan binatang atau burung yang haram. Aku sudah menyatakan semua itu najis. Jika kamu memakannya, kamu juga menjadi najis.